DAUD (kiri) ketika membuat pendedahan perkara itu, dan anak patung disangka anaknya. FOTO Agensi.
DAUD (kiri) ketika membuat pendedahan perkara itu, dan anak patung disangka anaknya. FOTO Agensi.
Agensi

Moscow: Disebabkan enggan mengecewakan suami yang mengharapkan cahaya mata, seorang wanita sanggup berpura-pura mengandung dan melahirkan kembar yang kemudian didakwa meninggal dunia kerana kecederaan otak.

Kejadian berlaku di Stavropol, barat daya Rusia yang hampir membangkitkan skandal penjualan bayi selepas Daud Daudov, 33, mendakwa pihak hospital sengaja menukar bayi lelakinya dengan anak patung.

Pihak polis turut menyiasat dakwaan itu apabila Daud membuat laporan sebaik mendapati jenazah anak yang mahu dikebumikan di kawasan perkuburan keluarga di Dagestan pada 9 Februari lalu adalah anak patung.

Susulan siasatan, isterinya, Laura kemudian membongkar perkara sebenar pada 11 Februari dan mengaku dia menipu mengenai kandungannya dan bayi yang dilahirkan kerana tidak mahu mengecewakan Daud.

Ketika menjelaskan perkara itu menerusi pengakuan bertulis, Laura mengaku tidak sanggup menghampakan Daud sebaik ujian kehamilan yang dibuat mendapati dia tidak mengandung.

"Saya lihat betapa gembiranya suami apabila beritahu saya mengandung. Saya tidak mahu mengecewakan dia dan bertindak menipu mengenai kandungan ini kepada dia dan keluarga.

"Kadang-kala saya berasa seperti perut saya membesar, rasa seperti saya mengandung dan pada Januari lalu saya meninjau katil bayi. Ia sukar untuk dijelaskan. Saya tahu saya tidak mengandung tetapi saya tidak boleh berhenti menipu," katanya dipetik Metro UK. - Agensi

Malah, Laura turut menyewa seunit flat berdekatan hospital dan mendakwa melahirkan bayinya pada 3 Februari tetapi bayi itu meninggal dunia pada 9 Februari disebabkan pendarahan otak.

"Pada hari sama suami saya beritahu anak kami perlu dikebumikan di tanah perkuburan keluarganya di Dagestan," katanya yang memberitahu tidak mampu menipu lagi selepas kain kapan menutup wajah bayi dibuka ketika mahu dikebumikan.

Daud berkata, dia sedih apabila isterinya memaklumkan bayi mereka meninggal dunia namun, mengikut nasihat ahli keluarga yang meminta pengebumian dilakukan dengan baik mengikut ajaran Islam.

"Saya buka kain kapan yang menutup wajah anak pertama dan terkejut apabila tiada mata. Kemudian saya buka wajah anak kedua, sama juga. Ia anak patung... anak patung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 6:05 AM