PENYALAHGUNAAN menyebabkan daun ketum mungkin disenarai di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 2014.
PENYALAHGUNAAN menyebabkan daun ketum mungkin disenarai di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 2014.
AIR ketum boleh menyebabkan seseorang itu khayal dan ketagih.
AIR ketum boleh menyebabkan seseorang itu khayal dan ketagih.
POLIS merampas daun ketum yang cuba diseludup untuk tujuan komersial.
POLIS merampas daun ketum yang cuba diseludup untuk tujuan komersial.
DAUN Ketum sebelum ini banyak digunakan dalam perubatan.
DAUN Ketum sebelum ini banyak digunakan dalam perubatan.

Sejak berdekad lamanya ketum berjasa kepada masyarakat terutama di kawasan desa, malah ada yang menyifatkan pokoknya sebagai klinik rimba.

Tumbuhan dikenali ‘biak’ itu dikatakan berkhasiat merawat penyakit cacing, meningkatkan selera makan, menambah tenaga, ubat cirit- birit, batuk dan selesema.

Daun ketum dikunyah sebagai satu daripada kaedah rawatan, tetapi kerap kali direbus untuk dijadikan minuman.

Ketum yang dulu menjadi penawar dan penyembuh penyakit kini berubah peranannya hingga disalah guna sebagai bahan penagihan yang memudaratkan kesihatan.

Daun ketum kini dikomersialkan secara haram bagi mengaut keutungan mudah tanpa memikirkan kesan buruk terhadap tubuh manusia.

Banyak yang ketagih air rebusan atau jus ketum pelbagai perisa itu sehingga menganggap hidup tidak bermakna tanpanya.

Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Datuk Wira Mohd Johari Baharum mahu penyalahgunaan daun ketum diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 berbanding Akta Racun 1952.

Beliau berkata, gejala penagihan ketum kini menular kepada pelajar, malah ada ibu bapa mengaku tanpa ketum anak mereka tidak boleh belajar dengan sempurna.

“Jus ketum boleh menjejaskan sistem saraf pusat manusia dan menjadikan seseorang itu ketagih kerana mengandungi ‘mitraginin’ yang tahap ketagihannya sama teruk dengan morfin,” katanya.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daun ketum hanya boleh diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 jika terbukti mempunyai unsur dadah yang menyebabkan ketagihan berulang.

Beliau berkata, kementerian itu bersama Kementerian Kesihatan melihat keperluan undang-undang berkaitan dipinda bagi memasukkan ketum di bawah akta itu.

Negeri di utara terutama Kedah menjadi lokasi popular ketum, malah kerajaan negeri memberi amaran merampas tanah yang dijadikan ladang ketum.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, seksyen dalam Kanun Tanah Negara memperuntukkan bahawa kerajaan negeri boleh merampas tanah yang melanggar syarat seperti tanah sawah yang dijadikan ladang ketum.

Sementara itu, Jawatankuasa Fatwa Perlis pula mengharamkan daun ketum kerana memudaratkan pengguna.

Keputusan itu dibuat pada 2013 selepas mendapati penyalahgunaan ketum memudaratkan manusia terutama generasi muda termasuk golongan pelajar.

Pada April lalu, kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2014 di Dewan Rakyat untuk menyediakan takrifan baru bagi daun ketum dan menyenaraikannya sebagai dadah berbahaya.

Selain itu, rampasan demi rampasan jus ketum dilakukan di beberapa lokasi pihak berkuasa, namun keuntungan daripada kegiatan itu sukar dihapuskan.

Sesungguhnya, sikap rakus manusia mengkormersialkan ketum secara tidak bermoral akan menyebabkan tumbuhan itu bakal menghadapi kemungkinan tersingkir daripada senarai perubatan tradisional.

Jika rang undang-undang itu diluluskan, tanaman itu bakal dimusnahkan dan ramai merinduinya terutama yang terlalu bergantung kepada klinik rimba itu.

Apa pun, hakikatnya ketum hadir dalam dunia perubatan tradisional dan pernah terlakar sebagai alternatif kepada perubatan moden.

Persoalannya apakah ketum bakal mengucapkan selamat tinggal kepada pencinta dan peminatnya? - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 11:27 AM