GOOGLE Maps. FOTO fail AFP
GOOGLE Maps. FOTO fail AFP
AFP

Tokyo: Kira-kira 60 doktor di Jepun, baru-baru ini, menuduh Google Maps mengabaikan ulasan negatif mengenai klinik mereka, dalam satu tuntutan di mahkamah yang dikatakan kes pertama seumpamanya.

Pasukan perubatan itu menuntut ganti rugi AS$9,000 (kira-kira RM43,000) daripada Google, dalam usaha supaya gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu bertanggungjawab kerana tidak bertindak terhadap ulasan berkenaan.

Doktor itu menyaman syarikat itu pada Khamis lalu dengan alasan mereka tidak berdaya untuk membalas atau menyangkal ulasan yang merosakkan reputasi, kerana kewajipan mereka terhadap kerahsiaan pesakit.

"Orang yang membuat siaran dalam talian boleh berkata apa-apa, tanpa nama, walaupun ia tidak lain hanyalah fitnah atau penderaan lisan. Ia seperti beg tumbuk (punching bag)," kata salah seorang doktor.

Kes di Mahkamah Daerah Tokyo dipercayai adalah tuntutan pertama seumpamanya di Jepun, yang menyasarkan platform itu berhubung ulasan negatif dalam talian, kata peguam bagi plaintif.

"Walaupun mudah ia disiarkan, ia menjadi amat sukar untuk menurunkan ulasan.

"Ini boleh menyebabkan doktor melakukan tugas mereka di bawah ketakutan yang berterusan untuk menerima ulasan yang mengerikan," kata peguam, Yuichi Nakazawa, kepada pemberita.

Objektif kebanyakan institusi perubatan bukanlah untuk memuaskan hati pesakit, tetapi untuk menangani penyakit mereka dari sudut profesional, kata aduan plaintif.

"Klinik yang memberikan pesakit hanya diagnosis biasa dan menetapkan ubat seperti yang diminta, adalah tidak sesuai dari segi perubatan tetapi amat dihargai oleh pesakit," katanya.

Jenis pekerjaan itu juga kadangkala menyebabkan doktor terdedah kepada serangan dalam talian oleh pesakit yang menyimpan dendam, kata plaintif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 11:41 AM