FOTO pada 25 Mac menunjukkan penduduk di sebuah kampung di wilayah Sepik Timur membuat jambatan sementara susulan banjir di kawasan itu.  FOTO Polis PNG/ AFP
FOTO pada 25 Mac menunjukkan penduduk di sebuah kampung di wilayah Sepik Timur membuat jambatan sementara susulan banjir di kawasan itu. FOTO Polis PNG/ AFP
BERNAMA

Sydney: Media tempatan melaporkan pada Isnin bahawa tiga orang maut dan dianggarkan 1,000 kediaman musnah selepas gempa bumi bermagnitud 6.9 menggegarkan Papua New Guinea (PNG) pada hujung minggu.

Data Pemantauan Geologi Amerika Syarikat menunjukkan bahawa gempa bumi itu melanda bahagian utara negara pulau Pasifik itu pada 6.22 pagi waktu tempatan pada Ahad.

Dengan kedalaman 40.2 kilometer, pusat gempa berada pada 4.139 darjah latitud selatan dan 143.159 darjah longitud timur, terletak kira-kira 38 km timur laut Ambunti.

Beberapa kawasan di wilayah Sepik Timur PNG, termasuk Ambunti dan Wewak, menerima kesan teruk akibat gempa itu.

Menurut Xinhua, akhbar harian PNG, Post Courier, mendedahkan bahawa bencana itu meragut tiga nyawa setakat ini, termasuk seorang ibu dan anaknya di kampung Jikinumbu dan seorang kanak-kanak lelaki di kampung Sotmeri.

Sekurang-kurangnya 1,000 kediaman musnah selepas gempa bumi melanda sebahagian wilayah Sepik Timur, yang sudah terjejas akibat banjir, menurut akhbar PNG, The National.

Stanley Samban, ahli parlimen PNG yang mewakili Wewak, juga memberitahu akhbar itu bahawa jambatan yang menghubungkan Moem Barracks ke Wewak runtuh, yang menghalang akses Pasukan Pertahanan PNG ke bandar itu.

"Disahkan, dua silinder oksigen dari wad pembedahan Hospital Besar Boram meletup semasa gempa bumi," tambah Samban.

Perdana Menteri PNG James Marape mengumumkan pembiayaan sebanyak 500 juta Kina (kira-kira AS$132 juta) untuk memberikan bantuan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 8:26 AM