NETANYAHU (kiri) ketika sidang media berOlaf Scholz selepas mesyuarat di Baitulmaqdis, pada 17 Mac. FOTO AFP
NETANYAHU (kiri) ketika sidang media berOlaf Scholz selepas mesyuarat di Baitulmaqdis, pada 17 Mac. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan Israel tidak akan membiarkan orang awam terperangkap di Rafah apabila tenteranya memulakan serangan di bandar Gaza selatan yang menjadi tempat perlindungan lebih sejuta penduduk Palestin.

"Matlamat kami untuk menghapuskan baki batalion pejuang di Rafah dengan membolehkan penduduk awam meninggalkan Rafah.

"Kami tidak akan membiarkan penduduk terperangkap di situ,

"Kami akan melakukan sebaliknya yang membolehkan mereka pergi," kata Netanyahu dalam kenyataan akhbar di Baitulmaqdis bersama Canselor Jerman Olaf Scholz memetik laporan Al-Jazeera.

Pemimpin Jerman itu berkata serangan Israel ke atas Rafah yang menjadi tempat perlindungan 2.3 juta penduduk Gaza daripada pengeboman tanpa henti Israel tanpa henti akan menjadikan keamanan serantau sangat sukar.

Kenyataan Netanyahu dibuat beberapa jam selepas dia memberitahu mesyuarat kabinet bahawa tentera Israel akan meneruskan serangan darat yang dirancang di Rafah walaupun dikhuatiri akan mengorbankan ramai orang.

"Tiada tekanan antarabangsa yang akan menghalang kami daripada merealisasikan semua matlamat perang: menghapuskan Hamas, membebaskan semua tebusan dan memastikan Gaza tidak lagi menimbulkan ancaman terhadap Israel.

"Untuk melakukan ini, kami juga akan beroperasi di Rafah," kata Netanyahu dalam video yang dikeluarkan oleh pejabatnya.

Komen Netanyahu dibuat ketika rundingan gencatan senjata di Gaza

dijangka disambung semula di Qatar, dengan Israel meneruskan kempen ketenteraan menentang Hamas selama lebih lima bulan.

Sementara itu, Tareq Abu Azzoum Al Jazeera melaporkan dari Rafah berkata rakyat Palestin sentiasa mengikut perkembangan terkini dengan rapat selepas Netanyahu berulang kali menyatakan rancangannya untuk menyerang kawasan sangat padat dengan penduduk.

"Dari perspektif Palestin, dengan ancaman dari merata bahagian, mereka benar-benar berasa tidak selamat, tertanya-tanya mengenai destinasi seterusnya," katanya.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, yang terus menyokong perang Israel walaupun terdapat dakwaan pembunuhan beramai-ramai, berkata pencerobohan Israel ke atas Rafah akan menjadi 'garisan merah' tanpa ada rancangan perlindungan awam yang boleh dipercayai.

Pada hari Jumaat, Setiausaha Negara AS Antony Blinken berkata Washington mahukan 'pelan yang jelas dan boleh dilaksanakan' untuk Rafah bagi memastikan orang awam 'dijauhkan daripada bahaya'.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 8:48 AM