POLIS menerima maklumat daripada seorang warga Vietnam yang melarikan diri dari kompleks di Bamban itu. FOTO AFP
POLIS menerima maklumat daripada seorang warga Vietnam yang melarikan diri dari kompleks di Bamban itu. FOTO AFP
AFP

Manila: Ratusan mangsa yang dipaksa bekerja di pusat penipuan dalam talian diselamatkan dalam satu serbuan pada di utara Manila, 14 Mac lalu.

Ia turut menyaksikan lapan suspek ditahan.

Bertindak atas makluman seorang lelaki Vietnam yang melarikan diri dari sebuah kompleks di Bamban dekat utara Manila, polis membongkar kegiatan pemerdagangan manusia yang memaksa mangsa melakukan penipuan dalam talian.

"Pekerja yang diselamatkan memberitahu kami, syarikat itu terbabit dalam penipuan cinta, penipuan mata wang kripto dan aktiviti penipuan lain.

"Mangsa dikawal (oleh ahli sindiket) dengan pasport dirampas sehingga mereka tidak dapat keluar," kata pengarah eksekutif pasukan petugas jenayah yang juga ketua operasi, Gilberto Cruz.

Dalam serbuan itu, polis menemukan 432 warga China, 371 warga Filipina, 57 warga Vietnam, lapan warga Malaysia, tiga warga Taiwan, dua warga Indonesia dan dua warga Rwanda.

Menurut kenyataan polis, kompleks seluas 100,000 meter persegi di Bamban itu adalah markas sebuah syarikat permainan Internet.

Di seluruh Asia Tenggara, pusat penipuan berkembang pesat, dengan sindiket jenayah memperdaya, menculik atau memaksa pekerja ke dalam aktiviti dalam talian milik pemangsa.

Industri penipuan itu dikatakan mengaut jumlah berbilion dolar Amerika Syarikat, menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah.

Lazimnya, mangsa terjerat selepas termakan janji percintaan atau pekerjaan bergaji tinggi, namun akhirnya terpaksa bekerja memujuk orang ramai supaya melabur wang ke dalam platform pelaburan palsu dan penipuan lain.

Polis Filipina berkata, seorang pekerja Malaysia juga mendapatkan bantuan selepas didakwa ditahan di luar kehendaknya di alamat sama di Bamban.

Menurut pihak berkuasa, kompleks itu menempatkan mangsa skim penipuan dalam talian, yang berdepan ancaman kecederaan fizikal atau hukuman lain.

"Pekerja (perjudian dalam talian) yang gagal mencapai kuota mereka... dicederakan secara fizikal, tidak dapat tidur atau dikurung di dalam bilik mereka," kata Cruz.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 12:51 PM