PENUNJUK perasaan mengibarkan bendera Palestin ketika protes di Dataran Parlimen, London. FOTO AFP
PENUNJUK perasaan mengibarkan bendera Palestin ketika protes di Dataran Parlimen, London. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Parlimen Israel menyokong keputusan kerajaan untuk menolak pengiktirafan unilateral (satu pihak) negara Palestin.

Kerajaan Israel pada Ahad meluluskan deklarasi menolak sebarang pengiktirafan unilateral negara Palestin.

Pada Rabu, 99 daripada 120 ahli parlimen mengundi menyokong keputusan kerajaan, manakala sembilan lagi mengundi menentang.

"Saya tidak ingat banyak undi yang mana parlimen mengundi dengan majoriti 99 daripada 120," kata Perdana Menteri Benjamin Netanyahu selepas undian.

Beliau berhujah bahawa undian pada Rabu menghantar mesej yang jelas kepada masyarakat antarabangsa.

''Parlimen bersatu menentang percubaan untuk menentukan kepada kami penubuhan sebuah negara Palestin....'' kata Netanyahu lagi.

Minggu lalu, akhbar Washington Post berkata, Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Arab sedang memuktamadkan rancangan damai jangka panjang antara Israel dan Palestin yang merangkumi garis masa yang tegas untuk penubuhan negara Palestin.

Israel menduduki Baitulmaqdis Timur semasa Perang Arab-Israel 1967. Ia menggabungkan seluruh bandar itu pada tahun 1980, mendakwa seluruh Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya yang kekal dan tidak berbelah bahagi, dalam satu langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Rakyat Palestin berharap untuk menubuhkan sebuah negara merdeka sendiri di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Israel menggempur Semenanjung Gaza tanpa henti sejak serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.

Serangan Israel ke atas Gaza mendorong 85 peratus daripada penduduk wilayah itu berpindah di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, manakala 60 peratus daripada infrastruktur wilayah itu rosak atau musnah.

Israel juga dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Keputusan sementara ICJ pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 9:57 AM