RETRO ketika usianya 17 bulan. FOTO Nature Communications / AFP
RETRO ketika usianya 17 bulan. FOTO Nature Communications / AFP
AFP

Beijing: Sekumpulan saintis di China mengumumkan berjaya mengklon monyet resus pertama yang sihat dan kini berusia dua tahun yang dinamakan Retro, dengan mengubah suai proses yang mencipta biri-biri klon bernama Dolly.

Haiwan itu terbukti sangat sukar untuk diklon, dan saintis mengatasi kegagalan bertahun-tahun dengan menggantikan sel klon yang akan menjadi plasenta dengan sel embrio normal.

Mereka berharap teknik baharu akan membawa kepada penciptaan monyet resus yang serupa yang boleh digunakan untuk penyelidikan perubatan.

Bagaimanapun, penyelidik luar memberi amaran bahawa kadar kejayaan untuk kaedah baharu itu masih sangat rendah, serta ia menimbulkan persoalan etika mengenai pengklonan.

Sejak pengklonan bersejarah biri-biri Dolly menggunakan teknik yang dipanggil pemindahan nuklear sel somatik (SCNT) pada 1996, lebih daripada 20 haiwan berbeza sudah dicipta menggunakan proses itu, termasuk anjing, kucing, babi dan lembu.

Bagaimanapun, hanya dua dekad kemudian, saintis berjaya mengklonkan primat pertama menggunakan kaedah SCNT.

Sepasang kera pemakan ketam yang serupa bernama Hua Hua dan Zhong Zhong dicipta menggunakan SCNT pada 2018 oleh penyelidik di Institut Neurosains Akademi Sains China di Shanghai.

Namun kejayaan itu, yang diketuai oleh Qiang Sun institut itu, hanya menghasilkan 'kelahiran' dalam kurang daripada dua peratus percubaannya.

Qiang juga adalah pengarang kanan kepada penyelidikan baharu itu yang diterbitkan dalam jurnal Nature Communications.

Dalam percubaan awal, seekor monyet daripada 35 fetus berjaya dilahirkan dan hidup, tetapi ia mati dalam masa kurang dari sehari.

Qiang berkata, masalah utama yang berlaku adalah plasenta embrio yang diklon menunjukkan kelainan berbanding plasenta daripada persenyawaan in vitro.

Oleh itu, penyelidik menggantikan sel yang kemudiannya menjadi plasenta, yang dipanggil trofoblas, dengan sel-sel daripada embrio yang sihat dan tidak diklon.

Sel trofoblas membekalkan nutrien kepada embrio yang sedang membesar dan bertukar menjadi plasenta yang membekalkan oksigen dan bantuan sokongan hidup yang lain kepada fetus.

Qiang berkata, teknik itu memperbaiki kadar kejayaan pengklonan menerusi kaedah SCNT dan membawa kepada kelahiran Retro.

Namun, Qiang menekankan bahawa pengklonan manusia adalah tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 12:17 PM