KERETA tiruan menyerupai Porsche, Da Ka Yan. FOTO Weibo.
KERETA tiruan menyerupai Porsche, Da Ka Yan. FOTO Weibo.
Agensi

Beijing: Sekumpulan penduduk di tengah China menjadi bahan lawak negara itu selepas membeli kereta Porsche palsu pada harga diskaun tidak masuk akal dan hanya mengetahui diperdaya apabila kenderaan itu bermasalah.

Dilema dihadapi penduduk itu tersebar di seluruh negara selepas mereka mengadu dalam siaran Henan TV kerana sukar berhubung dengan pengeluar atau pengedar kenderaan untuk pembaikan atau mendapatkan bayaran balik.

Kenderaan itu yang dijual di bawah jenama Da Ka Yan hanya berharga 23,000 yuan (RM14,970.48), direka bentuk untuk kelihatan serupa dengan Porsche.

Bagaimanapun, terdapat perbezaan ketara dalam penjenamaan kenderaan seperti huruf Inggeris pada logo Porsche yang ditukar kepada perkataan pinyin, xin neng yuan yang bermaksud tenaga baharu.

Lambang rusa pada kereta replika itu juga menggantikan kuda Porsche yang terkenal di dunia.

Pembeli, kebanyakannya tinggal di wilayah Henan mendakwa mereka membeli kereta itu selepas terpengaruh dengan siaran langsung penjualan kenderaan berkenaan.

Semasa penstriman langsung, seorang penjual wanita mendakwa, Da Ka Yan ialah kenderaan elektrik terulung yang boleh didapati pada harga 20,000 yuan (RM13,017.81) serta tidak memerlukan lesen memandu untuk menggunakannya.

Malangnya selepas menerima kereta, pembeli berdepan banyak masalah ketika cuba memandunya.

Ada yang berkata, kereta akan terus berjalan walaupun selepas mereka menarik brek tangan, manakala pengguna lain mengadu kereta hybrid elektrik dan petrol itu hilang 'tenaga' untuk jarak yang sangat pendek.

Kebanyakan kenderaan tidak mempunyai tali pinggang keselamatan dan tangki minyak hanya mampu menampung beberapa liter petrol sahaja.

"Saya malu apabila penunggang motosikal elektrik membantu menolak Da Ka Yan saya hingga ke rumah selepas ia berhenti tiga kali di tengah jalan.

"Saya hanya pandu kurang daripada 40 kilometer," kata pemilik wanita dikenali Wen yang dipetik SCMP.

Lelaki dikenali Wang yang tinggal di wilayah Hebei berkata, dia ditahan polis manakala kenderaan disita pada hari pertama dia memandunya keluar.

"Pegawai itu menegur saya kerana tidak mempunyai lesen memandu dan plat kereta saya haram," katanya.

Sementara itu, pihak pengeluar kereta tiruan berkenaan gagal dihubungi dan selepas talian aduan yang diberi kepada pembeli ditutup dan mesej tidak dibalas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 3:12 PM