FOTO fail menunjukkan pasukan penyelamat dari Hizbullah memeriksa kenderaan yang musnah susulan serangan udara Israel di selatan Lubnan. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan pasukan penyelamat dari Hizbullah memeriksa kenderaan yang musnah susulan serangan udara Israel di selatan Lubnan. FOTO AFP
AFP

Beirut: Jentera Hamas melancarkan 16 roket dari Lubnan ke arah utara Israel pada Isnin dengan menyasarkan kawasan di selatan bandar pantai Israel Haifa.

Briged Ezzedine al-Qassam berkata, serangan itu dilakukan sebagai tindak balas kepada pembunuhan beramai-ramai pendudukan (Israel) dan pencerobohannya terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Sementara itu, tentera Israel melaporkan kira-kira 30 peluru dilepaskan ke arah utara Israel dari Lubnan.

Ia berlaku selepas kementerian kesihatan di Semenanjung Gaza yang dikendalikan Hamas mengumumkan pada awal Isnin bahawa jumlah kematian di enklaf itu melepasi 10,000 orang.

Angka kematian itu direkodkan hampir sebulan selepas bermulanya perang yang dicetuskan oleh serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh kumpulan Hamas ke atas Israel.

Jurucakap Israel berkata , lebih 1,400 individu, kebanyakannya orang awam terbunuh di Israel sejak serangan 7 Oktober, lalu dengan mendakwa Hamas menjadikan lebih 240 orang sebagai tebusan.

Hamas, yang bersekutu dengan kumpulan Syiah Lubnan yang disokong Iran, Hizbullah, mempunyai beberapa pejuang di selatan Lubnan dan sebelum ini mendakwa serangan ke atas Israel dari sana.

Ketegangan memuncak di sempadan antara Israel dan Lubnan yang secara teknikalnya kekal berperang sejak serangan 7 Oktober, dengan Hizbullah dan Israel kerap bertukar-tukar serangan.

Sejak 7 Oktober, sekurang-kurangnya 81 individu terbunuh di pihak Lubnan dalam pertempuran rentas sempadan, menurut pengiraan AFP, termasuk 59 pejuang Hizbullah. Enam tentera dan dua orang awam terbunuh di pihak Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 10:07 AM