FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Jakarta: Polis Merangin di Sumatera memaklumkan melakukan kerja penggalian kubur gadis yang meninggal dunia disyaki selepas minum teh manis beracun yang didakwa diberikan kekasihnya.

Portal Kompas melaporkan, doktor forensik akan mengambil beberapa sampel pada jasad gadis itu untuk membuktikan punca kematiannya.

Selain itu, ia bagi mengenal pasti dakwaan bahawa gadis itu hamil sebelum dia meninggal dunia.

Kerja penggalian kubur dilakukan polis di tanah perkuburan awam Kampung Tegal Rejo, Margo Tabir, daerah Merangin, Jambi, pada Isnin lalu.

Mangsa dikatakan meninggal dunia selepas disyaki minum racun pada teh manis pada 13 Ogos, dan kejadian itu sudah berlaku dua bulan lalu.

"Sah atau tidaknya (dakwaan disyaki minum minuman beracun)... sampel dalam proses bedah siasat, doktor forensik yang akan membuktikannya," kata Ketua Polis Merangin, Ruri Roberto melalui mesej ringkas kepada Kompas, pada Ahad lalu.

Kematian mangsa itu sebelum ini dianggap bukan luar biasa.

Bagaimanapun, kes itu mula heboh diperkatakan selepas keluarga membaca SMS mengandungi perbualan mangsa dengan kekasihnya.

Dalam perbualan itu, ada perbincangan yang dikatakan mengenai usaha menggugurkan kandungan.

Susulan itu, Polis Merangin melakukan siasatan lanjut terhadap kematian gadis berkenaan.

"Daripada beberapa bukti yang kita kumpulkan, salah satunya adalah percakapan antara mangsa dan suspek.

"Dalam waktu terdekat kita akan segera panggil saksi untuk diambil keterangan," kata Roberto.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 10:32 AM