PASUKAN penyelamat memindahkan penduduk dari kawasan banjir di bandar Laudi di wilayah Hunan.  - EPA
PASUKAN penyelamat memindahkan penduduk dari kawasan banjir di bandar Laudi di wilayah Hunan. - EPA

Beijing: Hujan lebat yang melanda tengah dan selatan China semalam menyebabkan banjir besar yang memusnahkan ladang pertanian, memaksa ratusan ribu penduduk berpindah ke tempat selamat dan meragut sekurang-kurangnya 33 nyawa.

Pihak berkuasa berkata, paras air di lebih 60 sungai di selatan negara itu meningkat ke paras amaran.

Seramai 33 orang disahkan mati dan 15 hilang selepas banjir melanda wilayah tengah dan selatan, termasuk Hunan, Hubei, Anhui, Sichuan dan Guizhou, menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Awam.

Banjir di Hunan, kawasan paling teruk terjejas, memaksa ratusan ribu penduduk berpindah. Menurut laporan, lima orang terbunuh dalam kejadian runtuh di wilayah itu.

Pegawai tempatan menganggarkan kerugian setakat ini mencecah 8.26 bilion yuan (RM5.25 bilion).

Di Guangxi, 16 orang disahkan mati dan 10 hilang.

Minggu lalu, pihak berkuasa berkata, 10 orang terbunuh akibat banjir di Guizhou, wilayah barat daya China yang bersempadan dengan Hunan.

Sementara itu, cuaca panas melanda Beijing, Hebei, Henan dan beberapa wilayah lain di utara negara itu sejak minggu lalu dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius di beberapa kawasan.

Pihak berkuasa beberapa bandar di wilayah Shaanxi memberi amaran, suhu akan kekal di atas 35 darjah Celius sepanjang tiga hari akan datang.

Keadaan itu menyebabkan ramai penduduk di Beijing banyak menghabiskan masa di rumah.

Cuaca panas itu dijangka berkurangan pertengahan minggu ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 9:56 AM