KEDUTAAN Jepun di Beijing. FOTO AFP
KEDUTAAN Jepun di Beijing. FOTO AFP
Agensi

Tokyo: Tokyo pada Selasa menuntut China memastikan keselamatan warga Jepun susulan insiden batu bata dilemparkan ke kedutaannya di Beijing, dalam perbalahan yang semakin memuncak berhubung pembebasan air terawat di Fukushima.

The Straits Times melaporkan, China pada minggu lalu mengharamkan semua import makanan laut dari jirannya apabila Jepun mula mengeluarkan air sisa terawat dari loji yang lumpuh dalam operasi didakwa Tokyo, dan badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebagai selamat.

Sejak itu, Jepun menggesa rakyatnya di China untuk tindak menonjolkan diri dan meningkatkan keselamatan di sekitar sekolah dan misi diplomatik.

Menteri Luar Jepun, Yoshimasa Hayashi pada Selasa mengesahkan laporan media bahawa batu bata dilemparkan ke kedutaannya di Beijing dan menyuarakan gesaan Perdana Menteri Fumio Kishida kepada China, Isnin lalu, supaya mengambil tindakan bagi menenangkan keadaan.

"Kami ingin menggesa Kerajaan China sekali lagi untuk mengambil langkah yang sewajarnya dengan segera, seperti menyeru rakyatnya untuk bertenang dan mengambil semua langkah yang mungkin untuk memastikan keselamatan penduduk Jepun dan misi diplomatik kami di China," katanya.

Tambahnya, China harus memberi maklumat tepat mengenai pelepasan air di Fukushima supaya ia tidak perlu menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Sementara Di Beijing, jurucakap Kedutaan Jepun berkata, pekerja sangat bimbang dengan apa yang berlaku.

"Segelintir individu datang ke pintu masuk (kedutaan) kami... kemudian dibawa pergi oleh polis bersenjata," kata jurucakap itu.

Sebagai tindak balas, jurucakap Kementerian Luar Wang Wenbin pada Selasa memaklumkan Beijing melindungi keselamatan warga asing di China.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 9:39 AM