FOTO fail menunjukkan loji nuklear Fukushima Daiichi. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan loji nuklear Fukushima Daiichi. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Kerajaan Jepun sudah meluluskan cadangan untuk melepaskan satu juta tan air terawat dari loji nuklear Fukushima ke lautan, kata Perdana Menteri Yoshihide Suga pada Selasa.

Pelepasan itu mungkin tidak akan bermula dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi tetapi sudah dibantah oleh komuniti nelayan tempatan dan menimbulkan kebimbangan Beijing dan Seoul.

Jepun menegaskan bahawa tindakan pelepasan itu adalah selamat kerana air itu sudah diproses untuk menghilangkan semua elemen radioaktif.

Ia mendapat sokongan daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa yang melihat langkah itu sama seperti pelepasan air terawat dari loji nuklear di tempat lain di dunia.

"Kerajaan Jepun sudah mengambil semua polisi asas untuk melepaskan air terawat ke lautan selepas memastikan keselamatan air itu... dan mengenal pasti sebarang isu bagi mengelak sebarang masalah yang boleh berlaku, kata Suga kepada pemberita.

Kira-kira 1.25 tan air dikumpul di loji nuklear berkenaan yang terjejas teruk selepas tsunami pada 2011.

Ia termasuk air digunakan untuk menyejukkan loji itu, di samping air hujan dan air bawah tanah.

Air itu dipam dan ditapis, tetapi keputusan itu menimbulkan kemarahan nelayan tempatan yang sebelum ini mengambil masa bertahun-tahun untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap produk makanan laut dari wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 9:22 AM