FOTO menunjukkan jambatan di Sungai Gangga. di daerah Bhagalpur dekat Bihar di timur India, runtuh pada 4 Jun lalu. FOTO AFP
FOTO menunjukkan jambatan di Sungai Gangga. di daerah Bhagalpur dekat Bihar di timur India, runtuh pada 4 Jun lalu. FOTO AFP
Reuters

New Delhi: Jambatan gantung yang sedang dibina di India, runtuh buat kali kedua dalam tempoh 14 bulan, dengan seorang dilaporkan hilang.

Jambatan itu sedang dibina di Sungai Gangga. di daerah Bhagalpur dekat Bihar di timur India.

Pembinaan dijadualkan siap pada 2019 tetapi berdepan kelewatan disebabkan ia runtuh pada 30 April tahun lalu, akibat angin kencang dan hujan.

"Terdapat kekecohan besar-besaran di sini, rasanya seperti ada letupan. Kemudian, kami mendapati jambatan itu runtuh," kata penduduk tempatan, Rakesh Kumar.

Lapan lelaki berada di atas jambatan itu ketika jambatan itu runtuh kali kedua pada Ahad lalu, dengan seorang pengawal dilaporkan hilang.

Rakaman video menunjukkan bahagian jambatan yang sebahagiannya tenggelam dalam air dengan hanya beberapa tiang dan kabel kelihatan.

"Kami sudah menjalankan siasatan dan saya melaporkan penemuan itu kepada ketua pentadbiran daerah," kata timbalan ketua pentadbiran daerah, Amit Raj.

Sementara itu, Ketua Menteri Bihar Nitish Kumar ketika bercakap kepada pemberita pada Isnin juga menjanjikan tindakan tegas susulan insiden berkenaan.

"Ia tidak dibina dengan betul sebab itu ia runtuh. Ia sepatutnya dibuat lebih kukuh," katanya.

Pada Oktober tahun lalu, sebuah jambatan gantung era kolonial runtuh di bandar Morbi di barat Gujarat, dan menyebabkan 135 individu terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 10:08 AM