Sebahagian 50 etnik Rohingya yang tiba di pantai Lampanah, Aceh Besar. - FOTO AFP
Sebahagian 50 etnik Rohingya yang tiba di pantai Lampanah, Aceh Besar. - FOTO AFP
Reuters

Jakarta: Sebuah bot yang dilaporkan membawa kira-kira 50 etnik Rohingya, tiba di wilayah Aceh, Indonesia, hari ini.

Ia susulan perkembangan ratusan etnik Rohingya kini terpaksa melarikan diri dari kem pelarian Bangladesh.

Pemimpin kanan komuniti tradisional di kawasan itu, Miftah Cut Ade berkata kumpulan itu tiba dari Bangladesh, dengan kebanyakannya ditemui dalam keletihan.

"Penduduk kampung membantu mereka dengan memberikan makanan," katanya kepada Reuters.

Sementara itu, jurucakap Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) tidak dapat mengesahkan perkembangan terbaharu berkenaan.

Difahamkan, ratusan umat Islam Rohingya tiba di Aceh sejak beberapa bulan lalu, walaupun lebih ramai dari itu dilaporkan terkorban di laut akibat penyakit, kelaparan dan keletihan.

Menurut UNHCR, tahun 2022 menyaksikan jumlah korban paling ramai kumpulan minoriti beragama Islam dan etnik yang teraniaya di Myanmar itu di laut.

Sejak beberapa tahun lalu, ramai etnik Rohingya cuba melarikan diri ke negara jiran seperti Thailand dan Bangladesh, selain ke Malaysia dan Indonesia yang majoriti penduduknya Islam, terutamanya ketika keadaan laut tenang, antara November hingga April.

Hampir sejuta daripada mereka kini tinggal dalam keadaan sesak di Bangladesh, selain ratusan ribu yang melarikan diri daripada tindakan keganasan oleh tentera Myanmar pada 2017, yang menafikan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 5:39 PM