KEJADIAN kren tumbang di Masjidil Haram pada 2015. FOTO NSTP
KEJADIAN kren tumbang di Masjidil Haram pada 2015. FOTO NSTP
AP

Dubai: Mahkamah mendenda Kumpulan Saudi BinLadin Saudi sebanyak US$5.3 juta (RM23.4 juta) dan menjatuhi hukuman penjara kepada tujuh individu selepas didapati bersalah dalam kes kren tumbang di Masjidil Haram di Makkah ketika musim haji pada 2015, lapor akhbar terkemuka Saudi.

Dalam kejadian 11 September 2015 itu, lebih 100 jemaah terbunuh akibat terkena runtuhan konkrit selepas kren seberat 1,350 tan itu tumbang ke Masjidil Haram.

Kurang dua minggu selepas kejadian kren itu tumbang, lebih 2,400 jemaah lagi terbunuh akibat rempuhan dalam kalangan jemaah haji, menurut kiraan Associated Press (AP).

Okaz pada Selasa melaporkan, Kumpulan Saudi BinLadin didenda 20 juta riyal atau kira-kira US$5.3 juta kerana cuai dan melanggar peraturan keselamatan.

Tiga defendan dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda 30,000 riyal (RM35,264.72) dan empat lagi defendan dijatuhi hukuman tiga bulan dan denda 15,000 riyal (RM17,632.36).

Bagaimanapun, Okaz tidak melaporkan nama atau kewarganegaraan mereka.

Mahkamah juga memutuskan bahawa syarikat terbabit tidak perlu membayar wang pampasan kepada waris mangsa yang terbunuh.

Kumpulan Saudi BinLadin sehingga masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes itu.

Di negara itu, syarikat itu mempunyai hubungan rapat dengan keluarga diraja Saudi selama beberapa dekad dan menjalankan projek pembinaan utama.

Tragedi kren tumbang pada 2015 itu menjadi insiden yang cukup memalukan bagi keluarga diraja Saudi, berikutan peranan mereka sebagai penjaga tapak paling suci bagi umat Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 10:40 AM