LIU Boming (kanan) dan dua lagi angkasawan China, Nie Haisheng (tengah) dan Tang Hongbo dirakam melambai sebelum berlepas  dengan kapal angkasa Shenzhou-12, di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, Gurun Gobi, China. FOTO fail AFP
LIU Boming (kanan) dan dua lagi angkasawan China, Nie Haisheng (tengah) dan Tang Hongbo dirakam melambai sebelum berlepas dengan kapal angkasa Shenzhou-12, di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, Gurun Gobi, China. FOTO fail AFP
BERNAMA

Beijing: Kanak-kanak dengan rasa ingin tahu yang tinggi ada kala membuatkan orang dewasa serba salah, tersipu malu dan macam-macam lagi, membongkar 'misteri' rutin kehidupan angkasawan di stesen angkasa lepas.

Pertanyaan seperti "macam mana anda tidur", "macam mana gunakan bilik air" dan "kalau sakit, macam mana", menghujani empat angkasawan China - tiga di Stesen Angkasa Lepas Tiangong dan seorang di Beijing Royal School - dalam telesidang di sini, membabitkan kira-kira 1,000 pelajar sekolah dari negara-negara Asean.

"Jangan risau, jika kami jatuh sakit kami ada ubat-ubatan (yang dibawa dari bumi) selain boleh berkomunikasi dengan doktor melalui panggilan video," kata Cai Xuzhe, antara tiga kru Shenzhou-14 yang sedang bertugas di stesen angkasa lepas itu sejak lima bulan lepas.

Dua lagi taikonaut (istilah khusus angkasawan China berdasarkan perkataan taikong, bermaksud angkasa lepas) bersama beliau ialah Chen Dong dan Liu Yang yang menjadi wanita pertama dari China 'menjejakkan kaki' di angkasa.

"Kami juga sentiasa memantau mikroorganisma dan memastikan kebersihan dalam Tiangong supaya tiada jangkitan kuman," tambah Cai yang menjawab pertanyaan Huang Jun Kai mewakili murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Kwok, Kuala Lumpur, iaitu wakil Malaysia pada program Dialog Tiangong: Bicara Pelajar Asean dengan Taikonaut di Beijing Royal School itu.

Angkasawan terbabit termasuk Liu Boming yang mengikuti misi Shenzhou-7 pada 2008 dan Shenzou-12 pada 2021, berkongsi kisah kehidupan mereka di angkasa selain memberi inspirasi kepada pelajar yang mempunyai impian bergelar angkasawan.

Turut mencuri perhatian hadirin ialah pertanyaan mengenai makanan dan bagaimana angkasawan terbabit makan. Tidak seperti yang digambarkan oleh kebanyakan filem Hollywood yang mana makanan dibuat dalam bentuk cecair atau kapsul, menurut angkasawan China terbabit mereka makan makanan seimbang termasuk pelbagai sayur dan buah-buahan segar.

"Kami gunakan ketuhar gelombang mikro untuk panaskan makanan," jelas Chai yang juga angkasawan ke-14 China dalam misi angkasa lepas.

Jika rindu pada ahli keluarga, mereka boleh menggunakan telefon untuk membuat panggilan.

"Kami boleh guna telefon selular di angkasa, menggunakan wi-fi untuk berkomunikasi dengan mereka yang berada di bumi termasuk bertelesidang dengan keluarga kami," kata Chen pula.

Sementara itu, Liu menjelaskan mengenai rutin harian mereka termasuk bekerja selama tujuh ke lapan jam sehari, tidur selama tujuh jam pada waktu malam dan satu jam tidur sebentar pada waktu petang.

Bezanya, kata beliau, mereka dapat melihat matahari terbit dan terbenam setiap 90 minit.

"Setiap kegiatan di luar stesen atau extravehicular activity (EVA), dari persiapan awal sehinggalah pemasangan selalunya mengambil masa beberapa hari, dan kami perlu bekerja tanpa henti selama enam hingga tujuh jam di luar. Keadaan ini memang mencabar fizikal dan mental kami.

"Latihan semasa di bumi menyediakan kami untuk menghadapi keadaan ini, dan kami, iaitu kru semasa, berjaya melengkapkan dua EVA, sekali gus memberikan kami keyakinan untuk menyiapkan EVA seterusnya," kata Liu.

"Kami doakan impian kalian untuk menjadi angkasawan akan jadi kenyataan, selain berharap kerjasama antara China dan Asean akan membuahkan lebih banyak hasil," kata Chen mengakhiri sesi telesidang.

China, negara berpopulasi 1.4 bilion, menyasarkan untuk menjadi kuasa angkasa terkemuka di dunia menjelang 2045, dan negara itu melancarkan dasar penerokaan angkasa lepas menerusi Program Agensi Angkasa Bermanusia China kira-kira tiga dekad lalu.

Stesen Angkasa Lepas Tiangong terletak di orbit rendah bumi, berjarak antara 340 dan 450 kilometer dari permukaan bumi. Ia sebahagian daripada Program Agensi Angkasa Bermanusia China adalah projek pembinaan makmal dengan modul teras Tianhe dilancarkan pada April 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 12:35 PM