ANGGOTA polis menyaman rakan sekerjanya kerana memakai topi keledar separuh. FOTO Twitter
ANGGOTA polis menyaman rakan sekerjanya kerana memakai topi keledar separuh. FOTO Twitter
Agensi

New Delhi: Patuh dan tegas kepada undang-undang menyebabkan seorang anggota polis di Bengaluru, India, mengeluarkan saman kepada rakan sekerjanya.

Tindakan saman itu dibuat selepas seorang lagi anggota polis didapati tidak memakai topi keledar mengikut spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa.

Topi keledar separuh tidak dibenar untuk digunakan penunggang dan pembonceng motosikal kerana berbahaya, jika berlaku kemalangan.

Gambar anggota polis disaman rakannya itu kemudian dimuat naik di Twitter dan mendapat reaksi netizen.

"Selamat petang. Kes topi keledar yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan dan seorang anggota polis disaman," menurut ciapan itu.

Gambar itu menerima 1,000 tanda suka selain pelbagai komen orang ramai mengenai insiden itu.

Orang ramai juga menyambut baik tindakan polis yang tidak berkompromi dengan sesiapa saja yang melanggar peraturan jalan raya.

"Mengapa dia tersenyum ketika gambarnya dirakam? Ini adalah peluang terbaik untuk mempamerkan ketegasan menguat kuasa undang-undang.

"Tindakan seperti ini sepatutnya dilakukan lebih kerap kerana ramai polis yang melanggar undang-undang jalan raya," kata netizen.

Ada netizen yang mempersoalkan bagaimana seorang anggota polis yang tidak memakai topi keledar boleh terlepas.

"Saya sering melihat anggota polis menunggang motosikal tanpa menggunakan topi keledar dan rasa takut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 11:18 AM