Kanak-kanak dan remaja yang menghidap leukemia di Yaman dirawat menggunakan rawatan kemoterapi yang diseludup dikenali, Methotrexate. FOTO Reuters
Kanak-kanak dan remaja yang menghidap leukemia di Yaman dirawat menggunakan rawatan kemoterapi yang diseludup dikenali, Methotrexate. FOTO Reuters
AFP

Sanaa: Sekurang-kurangnya 10 daripada kanak-kanak dan remaja Yaman yang menghidap leukemia meninggal dunia selepas menerima rawatan ubat tercemar yang diseludup ke negara itu.

Ibu kepada salah seorang anak yang enggan namanya didedahkan memberitahu AFP, anaknya mengalami pelbagai kesakitan sebelum doktor memberikan ubat penenang, namun kesakitannya semakin teruk hingga dia tidak sedarkan diri.

Kementerian Kesihatan pemberontak Houthi mengesahkan, seramai 10 orang pesakit kanak-kanak dan remaja meninggal dunia di Hospital Kuwait.

"Mereka adalah antara kumpulan 19 pesakit berusia antara tiga hingga 15 tahun.

"Seorang lagi kanak-kanak berada dalam keadaan sangat kritikal.

"Pencemaran bakteria dikesan dalam suntikan ubat yang diseludup ke negara ini yang diberikan kepada kanak-kanak dan remaja itu," katanya.

Kementerian kesihatan pemberontak Houthi menyalahkan kematian itu ke atas pasukan gabungan Arab Saudi kerana menyebabkan kekurangan ubat yang tersedia di kawasan yang dikuasai pemberontak Houthi, dan pihaknya juga membuka siasatan ke atas kematian itu.

Menurut sumber kakitangan dan pegawai perubatan, ubat berkenaan melepasi tarikh luput serta kira-kira 50 kanak-kanak dan remaja menerima rawatan kemoterapi yang diseludup dikenali sebagai methotrexate yang pada asalnya dihasilkan di India.

Mereka berkata, seramai 19 kanak-kanak dan remaja meninggal dunia akibat rawatan tamat tempoh itu.

Beberapa doktor di Sanaa berkata, pegawai Houthi secara rahsia bekerjasama dengan penyeludup ubat yang sering menjual ubatan rawatan tamat tempoh kepada klinik swasta dari rumah simpanan di seluruh negara.

Katanya, langkah itu membuatkan pemberontak Houthi mengehadkan ketersediaan rawatan yang selamat.

Sejak perang di Yaman meletus pada 2014, terdapat kekurangan akses kepada sumber asas termasuk makanan dan ubat-ubatan.

Ia mewujudkan rangkaian penyeludupan yang besar antara pemberontak Houthi dan kawasan yang dikendalikan oleh pakatan Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 3:58 PM