SUMAEE. FOTO Agensi
SUMAEE. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Walaupun ditembak dua kali, ternyata nyawa seorang budak lelaki masih panjang kerana terselamat dalam insiden berdarah di sebuah taska di Thailand, minggu lalu.

Sumaee, 3, seorang daripada dua kanak-kanak yang terselamat dalam serangan yang meragut 36 nyawa itu.

Budak lelaki itu ditembak di kepala ketika penyerang menceroboh bilik berkunci dan lelaki itu terus menembak 24 kanak-kanak yang sedang tidur.

Pakar bedah saraf dapat mengeluarkan peluru dari kepala budak kecil itu dalam usaha untuk menyelamatkan nyawanya.

Ibu kanak-kanak itu dikenali sebagai Joy memaklumkan, penyerang menikam anaknya sebelum menembak budak itu dua kali di tengkorak.

Beliau berkata, dia hampir pitam selepas mendapat berita kejadian yang hampir meragut nyawa anak lelakinya itu.

Joy berkata, suaminya menyedari Sumaee dibawa anggota paramedik untuk dikejarkan hospital bagi rawatan susulan.

"Ketika di dalam ambulans, saya terus memegang tangan dan berdoa dia terus diberi kekuatan untuk bertahan.

"Anak saya di paksa untuk pergi ke taska pada hari kejadian walaupun sebelum itu Sumaee enggan (pergi ke taska)," katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, bekas pegawai polis, Panya Khamrab, 34, menyerang sebuah taska di Uthai Sawan, wilayah Nong Bua Lam Phu, timur laut Thailand.

Penyerang bersenjatakan pistol dan pisau itu, membunuh 36 orang.

Kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak.

Suspek yang dipecat dari polis pada awal tahun ini kemudian membunuh isteri dan anak di rumahnya sebelum membunuh diri.

Media melaporkan seorang lagi mangsa terselamat adalah budak perempuan berusia tiga tahun dikenali sebagai Ammy. Dia langsung tidak diapa-apakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 10:54 AM