ANTARA anjing yang ditemukan di rumah sembelihan haram. FOTO Agensi
ANTARA anjing yang ditemukan di rumah sembelihan haram. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Lebih 120 anjing diselamatkan pihak berkuasa China dari sebuah rumah penyembelihan haram sebelum ia disembelih untuk dijadikan hidangan.

Portal Independent melaporkan penyelamat berkata, kebanyakan anjing itu memiliki kolar menunjukkan haiwan itu dicuri dari rumah pemiliknya.

Anjing itu meliputi daripada pelbagai baka seperti labrador, huskies, golden retriever dan German shepherd.

Ia adalah antara anjing yang ditemukan apabila aktivis dan pihak berkuasa tempatan menyerbu kemudahan penyembelihan itu di Shaanxi, di utara wilayah tengah China.

Mereka mendapati anjing mati atas lantai, berlumuran darah, di samping menjumpai mesin yang digunakan mencabut bulu haiwan itu.

Kebanyakan haiwan peliharaan yang masih hidup, kelihatan kurus kering dan bernafas dengan tercungap-cungap.

Aktivis menemui timbunan kolar haiwan peliharaan di satu sudut menunjukkan banyak haiwan dicuri dari rumah, jalan dan ladang.

Ziyang Huang dari kumpulan aktivis Vshine berkata, penemuan itu menunjukkan rumah penyembelihan yang mengerikan.

"Anjing yang kami temukan masih hidup kelihatan tertekan tetapi sangat gembira melihat kami.

"Haiwan itu berdiri di sekitar najis sendiri dengan darah dan bulu anjing di sekelilingnya, dan peralatan penyembelihan berhampiran, berkemungkinan menyaksikan anjing dibunuh dan disembelih di depan haiwan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 6:00 AM