AFP

New Delhi: Seorang pegawai polis India ditahan selepas didakwa memperkosa remaja perempuan 13 tahun yang hadir ke balai untuk melaporkan kejadian dia dirogol beramai-ramai.

Kejadian di utara Uttar Pradesh itu insiden terbaharu yang menyerlahkan tahap keganasan seksual tinggi dalam negara terbabit, yang secara purata merekod seorang wanita dirogol bagi setiap 18 minit.

Menurut bapanya, gadis itu yang juga ahli komuniti Dalit India dirogol empat lelaki pada bulan lalu selama beberapa hari.

Malangnya ketika mahu melaporkan kejadian kepada polis, minggu lalu, dia dirogol pula pegawai di balai berkenaan, kata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan khidmat kaunseling kepada remaja terbabit.

Polis berkata, pegawai itu telah ditahan pada Rabu bersama empat individu lain serta ibu saudara mangsa yang dikatakan berada di dalam balai ketika mangsa diserang.

Sementara itu, 29 pegawai lain yang turut berada di situ ketika kejadian telah digantung tugas.

Rakyat India berkongsi kemarahan mereka berhubung kejadian di media sosial.

"Jika balai polis sudah tidak selamat untuk wanita, jadi ke mana lagi kami harus tuju untuk membuat laporan," kata anggota kanan parti pembangkang, Priyanka Gandhi Vadra dalam ciapan di Twitter.

Beliau turut bertanya sama ada kerajaan negeri Uttar Pradesh memikirkan secara serius cadangan menempatkan pegawai polis wanita di balai untuk membuatkan golongan berasa selamat.

Undang-undang rogol di India dan garis panduan hukuman telah dirombak selepas seorang pelajar di New Delhi dirogol beramai-ramai pada 2012, yang mendapat perhatian seluruh dunia.

Bagaimanapun, data terkini dikeluarkan menunjukkan jumlah jenayah itu kekal tinggi dengan lebih 28,000 kes rogol dilapor pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 3:33 PM