QANDEEL Baloch. FOTO Agensi
QANDEEL Baloch. FOTO Agensi
Agensi

Islamabad: Abang kepada Qandeel Baloch, dibebaskan daripada tuduhan membunuh bintang media sosial Pakistan itu.

Muhammed Waseem dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku membunuh Qandeel yang digelar 'Kim Kardashian Pakistan' pada Julai 2016, lapor BBC.

Pada masa itu, lelaki itu berkata, adiknya memalukan keluarga.

Perintah mahkamah masih belum didedahkan kepada umum, tetapi peguam berkata ia dibuat selepas Muhammed Waseem menarik balik pengakuannya dan ibu bapanya menggesa supaya dia dibebaskan.

Pembunuhan Qandeel pada 2016 mengejutkan Pakistan dan menjadi tajuk utama di seluruh dunia.

Bintang berusia 26 tahun itu menjadi terkenal di Pakistan selepas menyiarkan gambar, komen dan video yang kadangkala tidak senonoh di laman media sosial, di mana dia mempunyai ratusan ribu pengikut.

Dia amat menyedari tentangan yang dihadapinya di negara Islam konservatif itu, tetapi tidak menyesal.

Muhammed Waseem berkata, dia memberi Qandeel dengan dadah sebelum mencekiknya sehingga mati kerana tidak menghormati nama keluarga Baloch.

Dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada akhir 2019 kerana membunuh adiknya itu.

Peguam Muhammed Waseem memberitahu BBC bahawa keputusan untuk membebaskannya dibuat selepas ibu bapanya berkata, mereka memaafkannya.

Ia selepas Muhammed Waseem memfailkan tuntutan bahawa pengakuannya dibuat kerana dipaksa oleh polis.

Pelakon Pakistan, Osman Khalid Butt, yang membintangi drama TV mengenai kehidupan bintang media sosial itu, memberitahu BBC Asian Network Newsbeat bahawa keputusan itu menjadikan kempen keadilan untuk Qandeel kembali kepada asal.

"Bagaimanakah kita hendak mengubah pemikiran masyarakat, apabila keputusan seperti ini jelas menunjukkan bahawa undang-undang tidak menyebelahi kita," katanya.

Ibu Muhammed Waseem, Anwar Bibi, menyambut baik keputusan itu, memberitahu pemberita, dia berterima kasih kepada mahkamah, yang memerintahkan pembebasan anak saya atas permintaannya.

Namun katanya, keluarganya masih bersedih atas kehilangan Qandeel.

Muhammed Waseem dijangka dibebaskan hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 7:00 AM