Gambar fail menunjukkan jet pejuang Rafale. - FOTO AFP
Gambar fail menunjukkan jet pejuang Rafale. - FOTO AFP
AFP

Jakarta: Indonesia menandatangani perjanjian dengan Perancis untuk membeli enam pesawat perang Rafale sebagai sebahagian daripada 42 pesawat yang ditempah.

Perjanjian itu diumumkan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto ketika pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Perancis, Florence Parly di Jakarta.

"Kami bersetuju dengan pembelian 42 Rafale. Kontrak yang ditandatangani hari ini untuk enam kapal perang yang pertama dan akan diikuti oleh 36 yang lain," katanya.

Ia adalah mercu tanda terbaru hubungan erat hangat antara Jakarta dan Paris, ketika Perancis memikirkan semula perikatannya di rantau itu berikutan penarikan perjanjian kapal selam Australia berbilion dolar pada September lalu.

Ia mengakibatkan Paris berang dengan perkembangan itu, dan berkata ia tidak diberi amaran Canberra sedang merunding pakatan pertahanan baharu dengan Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

Australia kini memperoleh kapal selam berkuasa nuklear sebagai sebahagian daripada pakatan pertahanan baharu dikenali AUKUS, dengan Washington dan London untuk menentang kebangkitan China.

Pada November, Perancis dan Indonesia mengukuhkan perjanjian perkongsian strategik ketika lawatan dua hari oleh Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian ke kepulauan Asia Tenggara yang luas.

Tempahan pertama Indonesia untuk pesawat pejuang Perancis dibuat ketika Jakarta mahu menggantikan pesawat yang sudah lama terdiri daripada F-16 Amerika dan Sukhoi Rusia, susulan kebimbangan yang semakin meningkat berhubung peningkatan ketegangan AS-China di Asia.

Indonesia juga dilaporkan sedang dalam rundingan untuk membeli kira-kira 30 pesawat F-15 Amerika, serta mengambil bahagian dalam program Korea Selatan untuk membangunkan pesawat perang.

Sejak perjanjian kapal selam Australia berakhir, Perancis mengukuhkan hubungan dengan rakan kongsi lamanya termasuk Jepun dan India, serta beralih kepada negara Asia Tenggara seperti Indonesia.

Pesawat Rafale keluaran Dassault Aviation yang mula digunakan pada 2004, terbukti popular di pasaran antarabangsa walaupun muncul saingan sengit dari pengeluar Amerika dan Eropah.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) menandatangani perjanjian terbesar pembelian jet pada Disember, dengan rancangan untuk mendapatkan 80 pesawat pada harga 14 bilion euro.

Selain UAE, ia turut mendapat perhatian Qatar, India, Mesir, Greece dan Croatia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 7:35 PM