Jacinda Ardern. - FOTO Reuters
Jacinda Ardern. - FOTO Reuters
Reuters

Wellington: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menjalani kuarantin kendiri hari ini, ketika negara itu merekodkan 103 jangkitan Covid-19 baharu dan kawalan sempadannya yang ketat diserlahkan oleh seorang wartawan hamil yang mengatakan dia terperangkap di Afghanistan.

Ardern, dalam kuarantin sehingga Selasa, menjalani ujian koronavirus hari ini selepas terdedah kepada orang yang dijangkiti.

Keputusan dijangka diketahui lewat hari ini atau esok, kata pejabatnya.

Wartawan, Charlotte Bellis berkata dalam artikel di New Zealand Herald bahawa dia tidak boleh pulang dari Afghanistan, tempat dia melaporkan, selepas kerajaan Ardern menolak permohonannya untuk mendapatkan pengecualian untuk masuk.

"Apabila Taliban menawarkan anda - seorang wanita hamil, belum berkahwin - tempat selamat, anda tahu keadaan anda kucar-kacir," tulis Bellis, mengatakan dia terperangkap bersama 'pasangannya' dari Belgium.

Permohonannya ditolak kerana ia adalah untuk perjalanan di luar tempoh yang dibenarkan 14 hari selepas permohonan, pegawai imigresen dan kesihatan memberitahu akhbar itu.

Mereka dipetik sebagai berkata, kes itu memerlukan penjelasan lanjut dan Bellis 'dijemput' untuk memohon semula dalam tempoh 14 hari.

Ketua Pengurusan Isolasi dan Kuarantin New Zealand, Chris Bunny, memberitahu akhbar itu bahawa jabatan itu belum menerima pengesahan bahawa Bellis berhasrat untuk menunda penerbangannya ke hadapan.

"Dia berkata memilih tarikh perjalanan di luar tempoh yang dibenarkan 14 hari selepas permohonan kerana kekurangan penerbangan keluar dari Kabul dan untuk 'memberi kami masa untuk membuat rayuan jika kami ditolak'," katanya.

Agensi kuarantin tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.

Sempadan New Zealand telah ditutup kepada warga asing sejak Mac 2020.

Kerajaan menolak rancangan untuk pembukaan semula berperingkat dari pertengahan Januari hingga akhir Februari kerana bimbang terhadap kemungkinan wabak Omicron, seperti di negara jiran Australia.

Sebuah negara dengan lima juta penduduk, New Zealand mempunyai 15,910 kes Covid-19 yang disahkan dan 52 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 4:55 PM