Zhang Zhan. - FOTO AFP
Zhang Zhan. - FOTO AFP
AFP

Beijing: Seorang wartawan yang dipenjarakan kerana liputannya mengenai tindak balas awal China terhadap Covid-19 di Wuhan dilaporkan hampir mati selepas melakukan mogok lapar, kata keluarganya.

Susulan itu, kumpulan hak asasi mengulangi gesaan kepada pembebasan segera wartawan berkenaan.

Wartawan itu yang juga bekas peguam, Zhang Zhan, 38, mengembara ke Wuhan pada Februari 2020 untuk melaporkan kekacauan di pusat penularan wabak berkenaan, selain mempersoalkan pengendalian pihak berkuasa dalam video di telefon pintarnya.

Dia ditahan pada Mei 2020 dan dijatuhi hukuman penjara empat tahun pada Disember kerana 'memulakan pertengkaran dan mencetuskan provokasi' iaitu tuduhan yang biasa digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat.

Dia mengalami kekurangan berat badan yang teruk dan 'mungkin tidak boleh hidup lebih lama', kata abangnya, Zhang Ju yang menulis di akaun Twitter minggu lalu dan ia disahkan oleh individu rapat dengan perkara itu.

Zhan telah melakukan mogok lapar dan diberi makan secara paksa melalui tiub hidung, kata pasukan peguamnya, yang tidak mempunyai maklumat mengenai keadaan semasanya, memberitahu AFP awal tahun ini.

"Dia mungkin tidak dapat bertahan pada musim sejuk yang akan datang.

"Dalam hatinya, hanya ada tuhan dan kepercayaannya, tanpa peduli apa-apa lagi," tulis Zhang Ju, sambil menambah, dalam surat itu dia telah menggesa kakaknya untuk 'menjaga dirinya'.

Hantaran Zhang Ju itu mencetuskan gesaan baharu bagi pembebasan adik perempuannya itu, dengan Pengampunan Antarabangsa (AI) semalam menggesa kerajaan China supaya 'membebaskannya dengan segera supaya dia boleh menamatkan mogok lapar dan menerima rawatan perubatan yang sesuai serta amat diperlukan'.

Aktivis pengampunan, Gwen Lee dalam satu kenyataan berkata, penahanan Zhan adalah 'serangan yang memalukan terhadap hak asasi manusia'.

Mengikut laporan Reporters without Borders (RSF), Zhan tidak boleh berjalan atau mengangkat tangannya jika tidak dibantu.

Ketua Biro Asia Timur, Cedric Alviani berkata, 'komuniti antarabangsa (mesti) memberikan tekanan kepada rejim China dan mendapatkan pembebasan segera Zhan sebelum terlambat'.

"Dia hanya menjalankan tugasnya sebagai wartawan dan tidak sepatutnya ditahan, apatah lagi menerima hukuman penjara empat tahun," katanya.

Zhan antara empat wartawan China - termasuk Chen Qiushi, Fang Bin dan Li Zehua yang ditahan selepas melaporkan berita dari Wuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 7:35 PM