Anggota polis mengawal lokasi kejadian serangan pengganas di sebuah pasar raya di Lynn Mall, Auckland yang menyebabkan enam cedera. Foto AFP
Anggota polis mengawal lokasi kejadian serangan pengganas di sebuah pasar raya di Lynn Mall, Auckland yang menyebabkan enam cedera. Foto AFP
BERNAMA

Auckland: Rangkaian pasar raya New Zealand, Countdown menarik semua pisau dan gunting dari rak pamerannya pada hari ini atas alasan keselamatan berikutan serangan pengganas semalam yang mencederakan enam orang.

Dalam satu kenyataan media, Kiri Hannifin, Pengurus Besar Keselamatan Countdown mengatakan bahawa syarikat itu memutuskan untuk membuang sementara semua pisau dan gunting dari rak sambil mempertimbangkan sama ada pasar raya berkenaan harus terus menjualnya, lapor agensi berita Xinhua.

"Ini sama sekali tidak mencerminkan pelanggan kami, tetapi tindakan sokongan untuk pasukan kami. Kami mahu semua pasukan kami merasa selamat ketika mereka datang bekerja, terutama mengingat kejadian semalam," kata Hannifin.

Satu lagi gergasi pasar raya, Foodstuffs New Zealand juga mengkaji dasar keselamatannya mengenai pisau.

Ketua Urusan Korporat Antoinette Laird mengatakan kajian keselamatan mengenai sama ada kedai makanan akan mengeluarkan pisau tajam dari penjualan sedang dipertimbangkan.

Foodstuffs NZ memiliki ratusan kedai New World dan Pak'n Save di seluruh negara.

"Setiap orang berhak dapat pergi bekerja dan mengunjungi perkhidmatan penting seperti pasar raya dengan selamat," kata Laird.

Enam orang cedera termasuk tiga orang berada dalam keadaan kritikal dalam serangan pengganas yang didakwa dilakukan Daish di pasar raya Countdown di pinggir barat Auckland, New Lynn petang semalam.

Suspek berusia 32 tahun yang memperoleh pisau dan menikam orang di pasar raya kemudiannya ditembak mati oleh polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 1:08 PM