GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Bangkok: Thailand bercadang melaksanakan pengesanan kes aktif secara besar-besaran di semua pasar segar di Bangkok dan di kawasan yang dikategorikan 'zon merah gelap', bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Berikutan pasar segar antara penyumbang utama kepada kluster Covid-19, Kementerian Kesihatan Awam berhasrat melaksanakan pengesanan kes aktif di 684 pasar segar di Bangkok dan 28 kawasan 'zon merah gelap'

Timbalan jurucakap kerajaan, Traisuree Taisaranakul berkata, sebanyak 132 pasar di 23 wilayah mencatatkan 14,678 kes jangkitan sejak 1 April hingga 10 Ogos, menurut data Kementerian Kesihatan Awam.

Beliau berkata, pengesanan kes aktif akan dilakukan di semua pasar segar serta kawasan penempatan di Bangkok dan 28 wilayah lain membabitkan lebih 200,000 orang.

"Sebanyak 850,000 kit ujian antigen Covid-19 akan digunakan dalam program pengesanan itu, dan kemungkinan mengambil masa sebulan," katanya.

Dalam tempoh 24 jam sehingga semalam, Thailand mencatat 17,491 kes baharu Covid-19 dan 242 kematian, menjadikan jumlah terkini mencecah 1,066,786 dan 9,562 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata kes baharu yang dikesan itu termasuk 2,072 melalui pengesanan kes aktif dan tujuh lagi kes import.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 10:02 AM