GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

New Delhi: Polis Delhi menahan seorang lelaki kerana disyaki membunuh isterinya yang sebelum itu pernah menjadi mangsa rogolnya.

India Today melaporkan suspek lelaki dikenal pasti sebagai Rajesh pernah ditahan di penjara kerana disyaki merogol wanita berkenaan.

Hindustan Times melaporkan lelaki berkenaan kemudiannya berkahwin dengan isterinya iaitu wanita didakwa diperkosanya itu, Disember lalu selepas dia dibebaskan dari penjara.

Menurut rekod, isteri Rajesh itu pernah melaporkan dirinya diperkosa pada Jun tahun lalu selepas lelaki berkenaan berjanji untuk mengahwininya.

Berdasarkan laporan diterima daripada wanita itu, polis membuka kertas siasatan sebelum menahan Rajesh pada Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, Rajesh dibebaskan dari penjara Tihar pada Oktober selepas mangsa menarik semula laporan dibuat kerana mahu mengahwini dengan lelaki itu.

NDTV melaporkan kedua-duanya disatukan pada Disember lalu.

Keluarga wanita itu bagaimanapun mendakwa Rajesh sering mengasari dan bertengkar dengan isterinya.

Ia menyebabkan wanita itu nekad kembali ke pangkuan keluarga, tetapi Rajesh memujuk untuk kembali tinggal dengannya.

Rajesh kemudian mengambil isterinya itu di sebuah kampung di Udham Singh Nagar di Uttarakhand, pada 11 Jun lalu lalu tanpa pengetahuan keluarga.

Sejak itu, wanita itu gagal dihubungi dan ia mendorong keluarganya membuat laporan atas kehilangan anak mereka pada 15 Jun lalu.

Berdasarkan telefon bimbit wanita itu, lokasi terakhir menunjukkan dia berada berhampiran sebuah kuil di Nainital pada 12 Jun iaitu sama dengan tempat Rajesh berada.

Rajesh pada mulanya menafikan dirinya terbabit dalam pembunuhan itu tetapi akhirnya mengaku dan mengatakan gangguan daripada mangsa serta ibu mentua mendorongnya berbuat demikian.

"Suspek bertemu dengan isterinya di tempat dijanjikan yang terletak kira-kira 13 kilometer (km) dari Nainital.

"Selepas melakukan hubungan intim, suspek membunuh mangsa.

"Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dan Seksyen 201 kanun sama kerana cubaan menghapuskan bukti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 6:32 AM