LE Dai Phat antara pelukis berbakat di Vietnam melukis pelbagai lukisan pada kuku.
LE Dai Phat antara pelukis berbakat di Vietnam melukis pelbagai lukisan pada kuku.
Agensi

Hanoi: Perniagaannya terpaksa ditutup akibat pandemik, tetapi tidak menghalang usaha lelaki dari Vietnam ini mengembangkan bakat seninya di atas ukiran kuku.

Oddity Central melaporkan Le Dai Phat diakui antara pelukis berbakat di bandar raya Ho Chi Minh dan melihat lukisan tangannya sangat menakjubkan.

Dari potret selebriti hingga agama dan reka bentuk yang diilhamkan dari budaya Vietnam, pelukis berusia 28 tahun itu dapat membuat beberapa karya seni yang benar-benar mengagumkan.

Tetapi sebenarnya bakat itu diasah selepas dia dikuarantin di rumah kerana Covid-19.

Dengan menggunakan 10 kuku tiruan, Phat dapat melukis keseluruhan cerita pada kuku dengan terperinci.

Dia yang sudah melukis sejak empat tahun lalu membuka akademi seni kuku sendiri untuk mengajar pelukis lain yang ingin berjaya dalam bidang itu.

Namun, sejak dua bulan lalu, ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan di Ho Chi Minh menyebabkan salonnya ditutup, dia mendapat ilham baru untuk melukis di atas kuku.

Le Dai Phat menganggap dirinya sebagai pencerita visual dan kuarantin di rumah memberinya waktu untuk meneroka sisi baharu ke tahap tertinggi dengan menggunakan kuku tiruan.

Dengan membariskan lima hingga 10 kuku, dia dapat melukis karya seni yang indah diilhamkan daripada dongeng klasik seperti The Little Match Girl atau reka bentuk asli yang diilhamkan dari filem seperti Pirates of the Caribbean.

Mengecat kuku buatan dengan terperinci sangat sukar, dan Le Dai Phat menghabiskan masa satu hingga dua minggu, malah sehingga dua bulan untuk lukisan yang sukar.

Bahan yang digunakan adalah pewarna kuku, berus dan cat khusus seperti warna akrilik atau cat kuku.

Walaupun dia diakui sebagai pelukis paling berbakat di Vietnam, Le Dai Phat harus mengatasi kesukaran untuk berdiri sama tinggi dengan wanita yang banyak menguasai bidang mewarna kuku itu.

"Pada awalnya, saya berdepan pelbagai kesukaran kerana persekitaran kerja saya penuh dengan wanita, saya harus berjuang untuk mengatasi tekanan psikologi dan juga prasangka orang.

"Pada 2016, industri merias kuku tidak banyak berkembang, jadi saya juga mengalami kesukaran dalam mengakses pengetahuan dan juga mencari pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 6:01 AM