PENUNTUT universiti menyertai demonstrasi membantah rampasan kuasa tentera Myanmar. FTO fail EPA
PENUNTUT universiti menyertai demonstrasi membantah rampasan kuasa tentera Myanmar. FTO fail EPA
BERNAMA

Bangkok: Ketua Junta Myanmar Jeneral Min Aung Hlaing dijangka menghadiri sidang kemuncak khas Asean di Indonesia pada 24 April ini.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand Tanee Sangrat berkata, Brunei sebagai pengerusi Asean sudah mencadangkan 24 April untuk diadakan mesyuarat itu yang dijadualkan berlangsung di ibu pejabat Asean di Jakarta.

"Beberapa pemimpin sudah mengesahkan kehadiran mereka termasuk Min Aung Hlaing dari Myanmar.

"Ada pemimpin yang masih belum mengesahkan kehadiran," katanya dalam mesej kepada media hari ini.

Jiran Myanmar sudah mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan kemelut serta memulihkan keamanan dan kestabilan di Myanmar.

Sementara itu, laman berita bahasa Inggeris Kemboja, Cambodianess, melaporkan Perdana Menteri Hun Sen akan menghadiri mesyuarat khas Asean itu.

Hun Sen menulis di Facebooknya pada Jumaat bahawa "adalah kewajiban yang tidak dapat dielak untuk mengambil bahagian dalam sidang kemuncak pada 24 April di Jakarta, Indonesia" dan beliau akan ke sana pada sebelah pagi dan balik pada hari yang sama.

Tentera Myanmar merampas kuasa daripada kerajaan dipilih yang diketuai oleh Aung San Suu Kyi pada 1 Februari.

Sekurang-kurangnya 700 orang dibunuh oleh pasukan keselamatan dan lebih 3,000 ditangkap sejak rampasan kuasa itu, kata kumpulan sokongan Persatuan Bantuan Untuk Tahanan Politik (AAPP).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 9:15 AM