ECHA pernah tidur paling lama 13 hari. FOTO AGENSI
ECHA pernah tidur paling lama 13 hari. FOTO AGENSI
Agensi

Jakarta: Seperti kisah dongeng Snow White, seorang remaja perempuan dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan kini tidur berterusan hampir seminggu.

Siti Raisa Miranda atau nama panggilannya Echa sering tidur lena dalam tempoh berhari-hari dan hanya terjaga dengan sendiri.

Bapanya, Mulyadi berkata, anaknya pertama kali disahkan menghidap sindrom tidur berterusan ketika berusia 13 tahun.

"Pertama kali kena sindrom ini ketika umur 13 tahun. Dia sekarang sudah berusia 17 tahun," katanya seperti dilaporkan Kompas.

Ketika mengalami sindrom itu, Echa boleh tertidur sehingga berhari-hari lamanya.

Pada masa berita ini dilaporkan media tempatan, remaja itu tidur tujuh hari.

Echa pernah tertidur 13 hari tanpa bangun kecuali ketika diberi makan dan minum serta membuang air.

Itupun harus dibantu kedua orang tuanya kerana keadaannya sangat teruk akibat mengantuk.

"Paling lama dia tidur selama 13 hari. Kami risau tetapi kami paksa dia makan dan minum," jelasnya.

Echa, anak pasangan Mulyadi dan Siti Lili Rosita adalah anak kedua daripada empat beradik.

Bagaimanapun, adik-beradik gadis itu tiada yang mengalami sindrom sama.

Keluarga yang risau dengan keadaan Echa yang kerap tertidur sehingga berhari-hari mendorong mereka membawa gadis itu ke hospital untuk rawatan.

Namun, doktor tidak menemui apa-apa penyakit dan tanda pelik.

"Selepas doktor tidak menemui apa-apa, Echa dibawa dan dirawat di rumah.

"Dalam empat bulan ini dia tertidur selama dua kali iaitu kali terakhir Disember 2020, selepas itu sembuh dan sekarang tidur lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 6:05 AM