JUNAIDI ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan
JUNAIDI ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan
Agensi

Jakarta: Tindakan seorang lelaki melondehkan seluar rakannya dalam acara perayaan membawa padah apabila dia maut ditikam.

Kejadian berlaku di Desa Batay, Kacamatan Gumay Talang, Lahat, di Sumatera Selatan.

Kompas melaporkan Darsan, 45, melondehkan seluar dipakai Junaidi, 44, menyebabkan rakannya berang.

Ketua Siasatan Jenayah Lahat, Kurniawi H Barmawi berkata, ketika kejadian, kedua-dua mereka bertemu dalam majlis di kampung berkenaan.

Beliau berkata, Darsan melihat Junaidi hadir ke majlis itu dengan memakai seluar kotor.

Katanya, ia menyebabkan Darsan melondehkan seluar dipakai Junaidi di hadapan orang ramai.

Tindakan itu menyebabkan Junaidi terlalu marah dan menikam dada Darsan menggunakan senjata tajam.

"Ketika itu, suspek yang membawa senjata tajam diselitkan di pinggang terus menikam mangsa sehingga mati," katanya.

Menurutnya, menyedari rakannya meninggal dunia, Junaidi bergegas ke rumah ketua kampung untuk menyerah diri.

"Dia terus ke rumah ketua kampung kerana takut dan menyerah diri," katanya.

Susulan kejadian, pihak berkuasa menemui senjata digunakan untuk menikam Darsan.

Kes itu kini dalam siasatan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 6:30 AM