NOUR al-Jalbout mendapat tawaran kerja di Harvard. FOTO AFP
NOUR al-Jalbout mendapat tawaran kerja di Harvard. FOTO AFP
AFP

Beirut: Krisis ekonomi dan politik di Lubnan memaksa golongan profesional untuk mengundur diri daripada terus berbakti kepada tanah air selepas memikirkan masa depan keluarga mereka.

Doktor kecemasan yang mendapat latihan di Amerika Syarikat (AS), Nour al-Jalbout mahu berbakti untuk Lubnan namun dalam tempoh dua tahun selepas kembali ke negaranya, pergolakan yang berlaku memaksanya untuk berhijrah.

"Saya berikan semuanya untuk Lubnan selama dua tahun ini namun Lubnan tidak memberikan apa-apa kembali.

"Jadi, saya mohon untuk berhijrah ke AS," katanya yang mendapat tawaran kerja di Harvard.

Selepas visanya diluluskan, dia akan menyertai ratusan doktor Lubnan yang meninggalkan negara berkenaan akibat krisis politik dan ekonomi yang tidak berkesudahan.

Lubnan satu ketika dahulu dikenali sebagai 'hospital bagi dunia Arab' namun, kini ia semakin hilang taringnya apabila kebanyakan pakar perubatan memilih untuk berkhidmat di negara lain.

Nour berkata, keputusan untuk meninggalkan Lubnan bukan perkara mudah namun, ia terpaksa dilakukan untuk diri sendiri dan anak-anak jika dia mahu berkeluarga kelak.

Sejak memulakan tugas pada September 2019, dia sudah membantu ratusan pesakit akibat tunjuk perasaan dan mangsa letupan dahsyat di pelabuhan tahun lalu.

Krisis ekonomi Lubnan menyaksikan pendapatan doktor terus merudum namun, mereka berpendapat apa yang dimiliki adalah jauh lebih baik berbanding orang lain.

Namun, tiada masa depan yang baik menanti anak-anak mereka di Lubnan.

Ketua pertubuhan doktor, Charaf Abou Charaf berkata, 1,000 doktor sudah meninggalkan Lubnan sejak 2019 dan angka sama juga membabitkan jururawat yang memilih untuk berhijrah.

"Sekiranya ini berterusan, ia akan menjadi bencana," katanya.

Sebilangan besar mereka yang berhijrah adalah pakar dalam bidangnya, dan penting untuk aspek penjagaan pesakit serta melatih generasi akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 6:45 AM