JANIN berkenaan. FOTO Agensi
JANIN berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

Kupang: Penemuan janin ikan yu didakwa mirip wajah manusia menggemparkan nelayan di daerah Rote Ndao, Nusa Tenggara Timur, baru-baru ini.

Gambar janin itu kemudiannya tular di laman sosial Indonesia kerana keanehan spesis berkenaan, lapor portal Kompas.com.

Menurut Pusat Konservasi Sumber Daya Alam, janin ikan yu itu dari jenis yu sirip hitam.

Menurut pusat itu lagi, janin yang ditemui itu sudah diawet selepas ditemui dua nelayan, iaitu Hasan Hanasin dan Abdullah Ferroh, pada 21 Februari lalu.

Ketika menarik pukat, nelayan berkenaan mendapati dua ikan yu terperangkap di dalam jaring pukat.

Sebaik dibawa ke pantai untuk dipotong, mereka mendapati seekor daripada ikan yu itu bunting.

Namun, janin yang ditemui di dalam perut ikan itu berbeza sehingga menimbulkan ketakutan lalu dibuang nelayan terbabit.

Ketua Perhubungan Awam Polis Rote Ndao, Aiptu Anam Nurcahyo berkata, rakan nelayan itu bagaimanapun mengambil semula janin ikan yu itu lalu diawet untuk disimpan.

"Bentuk wajah janin itu berbeza sehingga menimbulkan ketakutan lalu dibuang nelayan," katanya.

Bagi Ketua Konservasi Perairan Nasional Kupang, Imam Fauzi, bentuk wajah janin yang ditemui itu normal dan akan berubah seiring peningkatan usia ikan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 12:33 PM