VAKSIN Covid-19. FOTO AFP
VAKSIN Covid-19. FOTO AFP
Agensi

Bangkok: Pemimpin pembangkang Thailand, Thanathorn Juangroongruangkit mendakwa syarikat farmaseutikal milik keluarga diraja Thailand menerima layanan istimewa dalam program vaksinasi Covid-19 negara itu.

Beliau turut mendakwa syarikat Siam Bioscience yang bertanggungjawab menghasilkan vaksin itu di Thailand adalah milik keluarga diraja.

Menerusi paparan Facebook, Thanathorn menggesa kerajaan Thailand mendedahkan tiga dokumen penghasilan vaksin dan perkara berkaitan untuk membuktikan wujud ketelusan dalam proses pemilihan.

Dokumen pertama, katanya, membabitkan penghasilan vaksin antara AstraZeneca dan Siam Bioscience yang menyatakan jumlah dos, kos, harga jualan dan perincian lain.

"Kedua adalah kontrak perbelanjaan antara Institut Vaksin Nasional Thailand dan Siam Bioscience, yang menyatakan kos keseluruhan penghasilan vaksin, perincian penggunaan dan syarat lain.

"Ketiga, minit mesyuarat Institut Vaksin Nasional Thailand berkaitan penetapan syarat, kelayakan dan maklumat syarikat yang akan diberi peruntukan kerajaan bagi menghasilkan vaksin," katanya seperti dilaporkan Straits Times.

Isnin lalu, Thanathorn yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook, menyelar kerajaan susulan kelewatan menyediakan vaksin Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 6:31 AM