RAKAMAN menunjukkan peluh melimpah keluar sehingga membasahi lantai apabila doktor itu menyinsingkan PPE bahagian kaki selepas plastik biru itu ditanggalkan. FOTO Weibo
RAKAMAN menunjukkan peluh melimpah keluar sehingga membasahi lantai apabila doktor itu menyinsingkan PPE bahagian kaki selepas plastik biru itu ditanggalkan. FOTO Weibo
Agensi

XINJIANG: Satu klip video pendek yang memaparkan limpahan peluh keluar daripada pakaian perlindungan diri (PPE) seorang doktor bertugas menangani Covid-19 di Urumqi, ibu kota Xinjiang di barat laut China pada Sabtu minggu lalu tular dan mengundang simpati netizen.

The Sun yang berpangkalan di United Kingdom (UK) melaporkan kejadian itu berlaku ketika doktor berkenaan berehat sebentar.

Dalam klip video berkenaan, doktor wanita itu dilihat duduk di kerusi sambil menanggalkan penutup plastik biru yang melindungi bahagian kaki hingga ke lutut dan kasutnya.

Rakaman menunjukkan peluh melimpah keluar sehingga membasahi lantai apabila doktor itu menyinsingkan PPE bahagian kaki selepas plastik biru itu ditanggalkan.

Julai lalu, China mengenakan perintah berkurung di Urumqi iaitu bandar dengan populasi 3.5 juta penduduk apabila mencatatkan jangkitan Covid-19 pertamanya dalam tempoh lima bulan.

Pihak berkuasa melaksanakan ujian besar-besaran pengesanan Covid-19 dan mengetatkan tindakan kuarantin selepas sejumlah kes jangkitan ditemui di kota itu.

Kebanyakan kawasan di Urumqi pada Sabtu lalu pada bacaan suhu 29 Celsius.

Doktor wanita berkenaan dianggap sebagai 'pahlawan' oleh pengguna media sosial China. Klip itu dikongsi oleh People's Daily, akhbar rasmi Parti Komunis China, yang menulis: 'Pada 8 Ogos, Urumqi, Xinjiang, kakitangan perubatan berehat sebentar untuk pencegahan wabak. Ketika pekerja mengangkat seluarnya, keringat mengalir deras keluar dari dalam'.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 7:28 PM