PEMINAT memegang gambar Lisa Marie Presley ketika menghadiri memorial penyanyi itu di rumah agam Graceland, Januari lalu. FOTO Reuters.
PEMINAT memegang gambar Lisa Marie Presley ketika menghadiri memorial penyanyi itu di rumah agam Graceland, Januari lalu. FOTO Reuters.
Reuters

Los Angeles: Anak tunggal Elvis Presley, Lisa Marie Presley disahkan meninggal dunia akibat gangguan pada usus kecil, kesan daripada pembedahan bariatrik untuk menurunkan berat badan.

Koroner Los Angeles mengeluarkan laporan itu hari ini, selepas enam bulan kematian penyanyi berkenaan.

Presley dimasukkan ke hospital selepas dilapor mengalami serangan jantung di rumahnya dan meninggal dunia, 12 Januari lalu pada usia 55 tahun.

Koroner menyenaraikan punca kematian sebagai 'sekuela (kecederaan lanjutan) gangguan usus kecil.'

"Gangguan itu terbentuk disebabkan usus kecil tersepit akibat tisu melekat yang berkembang selepas pembedahan bariatik beberapa tahun lalu," kata laporan itu.

Menurutnya, keadaan itu adalah komplikasi jangka panjang yang biasa dihidapi bagi jenis pembedahan berkenaan.

Menurutnya, Presley juga mempunyai sejarah mengambil ubat berlebihan, apabila kerap terlupa dan akan mengulangi dos ubat itu diambil.

Laporan toksikologi menunjukkan mendiang mempunyai 'tahap terapeutik' oksikodon dan ubat lain dalam darahnya yang tidak dianggap sebagai faktor penyumbang.

Presley meninggal dunia dua hari selepas dia muncul bersama ibunya, Priscilla Presley di Anugerah Golden Globe di Beverly Hills, California yang mana, pelakon Austin Butler memenangi anugerah pelakon terbaik selepas melakonkan watak bapanya dalam filem Elvis.

Dia meninggalkan anak perempuan, pelakon Riley Keough dan kembar berusia 14 tahun, Finley dan Harper Lockwood.

Presley memulakan kerjaya muziknya pada 2000 menerusi dua album, To Whom It May Concern dan Now What, yang menduduki 10 teratas carta album Billboard 200.

Dia berkahwin dan bercerai empat kali, termasuk dengan bintang pop, Michael Jackson dan pelakon Nicholas Cage.

Dia anak tunggal bintang hebat Amerika Syarikat (AS) dan berusia 9 tahun ketika Elvis meninggal dunia akibat kegagalan jantung, pada 1977 di rumah agam di Graceland.

Presley, bapanya dan anak lelakinya yang meninggal dunia akibat bunuh diri pada 2020, dikebumikan di Graceland.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 12:34 PM