MUSK berdiri di sebelah robot pembedahan ketika pembentangan Neuralink pada Ogos 2020. FOTO Neuralink /AFP
MUSK berdiri di sebelah robot pembedahan ketika pembentangan Neuralink pada Ogos 2020. FOTO Neuralink /AFP
AFP

San Francisco: Syarikat pemula Elon Musk pada Khamis memaklumkan pihaknya sudah mendapat kelulusan daripada pengawal selia Amerika Syarikat (AS) untuk menguji implan otaknya pada manusia.

Neuralink berkata, kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS untuk menjalankan kajian klinikal pertama terhadap manusia adalah langkah penting pertama untuk teknologi itu.

Katanya, ia membolehkan pengguna berkomunikasi secara langsung dengan komputer melalui pemikiran mereka.

"Kami sangat teruja untuk berkongsi bahawa kami sudah menerima kelulusan FDA untuk melancarkan ujian klinikal pertama terhadap manusia.

"Ini adalah hasil usaha luar biasa oleh pasukan Neuralink dengan kerjasama rapat dengan FDA," kata Neuralink dalam catatan di Twitter yang dikendalikan oleh Musk.

Bagaimanapun, pengambilan untuk ujian klinikal ini belum dibuka lagi, kata Neuralink.

Matlamat utama implan Neuralink adalah membolehkan otak manusia berkomunikasi secara langsung dengan komputer, kata Musk semasa pembentangan oleh syarikat permulaan pada Disember.

"Kami bekerja keras untuk bersedia bagi manusia pertama kami (implan), dan jelas sekali kami sangat berhati-hati selain memastikan ia berfungsi dengan baik sebelum peranti itu diletakkan dalam badan manusia," katanya ketika itu.

Musk - yang membeli Twitter tahun lalu, juga memiliki SpaceX, Tesla dan beberapa syarikat lain- diketahui membuat ramalan bercita-cita tinggi mengenai syarikatnya, dengan beberapa cita-citanya tidak menjadi kenyataan.

Pada Julai 2019, beliau berikrar Neuralink akan dapat melakukan ujian pertamanya ke atas manusia pada 2020.

Protaip produk, yang sebesar syiling ditanam di dalam tengkorak monyet.

Pada pembentangan Neuralink, syarikat itu menunjukkan beberapa monyet 'bermain' permainan video asas atau menggerakkan kursor pada skrin melalui implan Neuralink mereka.

Musk berkata syarikat itu akan cuba menggunakan implan itu untuk memulihkan penglihatan dan mobiliti pada manusia lumpuh.

"Ia pada mulanya akan membolehkan seseorang yang hampir tiada keupayaan untuk mengendalikan otot mereka... dan membolehkan mereka mengendalikan telefon dengan lebih pantas daripada seseorang yang mempunyai tangan yang berfungsi.

"Walaupun ia mungkin kedengaran ajaib, kami yakin boleh memulihkan fungsi badan penuh kepada seseorang yang mempunyai masalah saraf tunjang," katanya.

Selain berpotensi untuk merawat penyakit saraf, matlamat utama Musk adalah memastikan manusia tidak dibelenggu oleh kecerdasan buatan (AI), katanya.

Syarikat lain yang sedang berusaha membangunkan sistem sama termasuk Synchron, yang mengumumkan sudah menanam mesin otak pertama di Amerika Syarikat pada Julai tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 8:24 AM