KERETA terbakar di jalan raya ketika operasi bagi menangkap Ovidio Guzman di Culiacan, negeri Sinaloa, Mexico. FOTO AFP
KERETA terbakar di jalan raya ketika operasi bagi menangkap Ovidio Guzman di Culiacan, negeri Sinaloa, Mexico. FOTO AFP
BERNAMA

Mexico City: Lelaki bersenjata bertindak membakar kenderaan, menyerbu sebuah lapangan terbang dan menjadikan beberapa orang sebagai tebusan, di utara Mexico pada Khamis, selepas tentera menahan Ovidio Guzman, seorang daripada pemimpin kartel paling dikehendaki di dunia yang juga anak kepada raja dadah terkenal Joaquín 'El Chapo' Guzmán.

Ketua dadah itu ditahan dalam satu pertempuran di bandar Culiacan, kubu kuat kartel Sinaloa Guzman dan kemudian diterbangkan ke Mexico City, menurut Setiausaha Pertahanan Mexico Luis Cresencio Sandoval González, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Susulan itu, pihak berkuasa terpaksa membatalkan perkhidmatan penerbangan, menutup sekolah dan mengarahkan penduduk berlindung.

Sandoval berkata, keganasan terburuk tertumpu di Culiacan apabila anggota kartel menyekat semua enam pintu masuk ke bandar, membakar kenderaan dan menyerbu lapangan terbang di bandar itu serta pangkalan tentera udara yang terletak berhampiran.

Insiden itu seakan sama dengan kejadian pengepungan berdarah di Culiacan pada 2019 ketika tentera menahan Ovidio Guzman.

Ketika itu, ratusan anggota sindiket di Sinaloa menawan bandar itu, menjadikan orang ramai sebagai tebusan, menyekat jalan raya dan mengepung rumah keluarga anggota tentera, menyaksikan lapan orang terbunuh.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador akhirnya mengarahkan pembebasan Guzman untuk mengelak lebih banyak pertumpahan darah.

Penangkapan semula Guzman berlaku beberapa hari sebelum lawatan Presiden Joe Biden ke Mexico, lawatan pertama Presiden Amerika Syarikat (AS) ke negara itu sejak 2014.

Sementara itu, keadaan di Culiacqan dilihat terkawal.

Syarikat penerbangan terbesar di negara itu Aeromexico berkata, sebuah daripada pesawatnya diserang tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Gabenor Sinaloa Ruben Rocha Moya meminta penduduk "supaya bertenang dan berlindung di rumah."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 3:51 PM