LOGO Twitter. FOTO Reuters
LOGO Twitter. FOTO Reuters
Agensi

Washington: Pakar keselamatan memberi amaran maklumat peribadi lebih 200 juta pemilik akaun Twitter terdedah kepada sasaran penggodam yang mencuri data menerusi kiriman e-mel.

Beberapa laporan menunjukkan, data itu dikumpul pada 2021 melalui Twitter.

Kebocoran data itu boleh mendedahkan identiti sebenar pengguna Twitter tanpa nama dan memudahkan penjenayah merampas akaun Twitter, mahupun akaun mangsa di laman web lain.

Rekod yang bocor itu juga termasuk nama pengguna Twitter, pemegang akaun, nombor pengikut dan tarikh akaun itu dibuat, menurut penyenaraian forum yang disemak oleh penyelidik keselamatan yang dikongsi dengan CNN.

Penyelidik keselamatan, Troy Hunt mendedahkan, analisisnya terhadap data menemukan 211,524,284 alamat e-mel unik yang sudah dibocorkan.

Bagaimanapun Hunt dan Twitter enggan mengulas lanjut mengenai penemuan berkenaan.

Jurucakap Cyabra, firma analisis kandungan media sosial tidak sahih berkata, data peribadi sebelum ini seperti e-mel, pemilik dan tarikh penciptaan boleh dimanfaatkan untuk membina kempen penggodaman, phishing dan doxxingbersasar.

Penyelidik keselamatan menasihatkan pengguna Internet harus menggunakan kata laluan unik untuk setiap perkhidmatan dalam talian dan membuat pengesahan berbilang faktor untuk setiap akaun serta berhati-hati apabila membuka e-mel atau pautan yang tidak dikenali.

Disember lalu, Suruhanjaya Perlindungan Data Ireland berkata, pihaknya sedang menyiasat kebocoran yang berlaku pada Julai 2022.

Pada musim panas lalu, bekas ketua keselamatan syarikat itu, Peiter Mudge Zatko juga memfailkan laporan pemberi maklumat kepada kerajaan Amerika Syarikat yang mendakwa kelemahan keselamatan sekian lama diabaikan dalam operasi Twitter.

Bagaimanapun, Twitter berulang kali menafikan dakwaan Zatko.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 3:27 PM