Elon Musk. FOTO Reuters
Elon Musk. FOTO Reuters
Reuters

San Francisco: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk berpandangan terdapat keperluan untuk mengurangkan 10 peratus pekerja di syarikatnya selepas 'merasakan sesuatu yang amat buruk akan berlaku dalam ekonomi.'

Satu mesej yang dihantar kepada eksekutif menyatakan kebimbangannya itu dan memberitahu untuk 'menghentikan semua pengambilan di seluruh dunia.'

Tinjauan yang suram dibuat dua hari selepas bilionair itu memberitahu kakitangan supaya kembali ke tempat kerja atau meletakkan jawatan, sekali gus menambah kepada meningkatnya amaran dalam kalangan pemimpin perniagaan mengenai risiko kemelesetan.

Saham Tesla jatuh sembilan peratus dalam dagangan di Amerika Syarikat (AS) semalam selepas laporan Reuters.

Dalam satu e-mel kepada kakitangan pada Jumaat, Musk berkata Tesla akan mengurangkan 10 peratus jumlah kakitangan, kerana syarikat itu 'berlebihan pekerja di kebanyakan jabatan'.

"Namun jumlah jam bekerja akan meningkat.

"Perlu diingatkan, ini tidak terpakai kepada mereka yang membina kereta, pek bateri atau memasang solar," tulis Musk dalam e-mel yang dilihat oleh Reuters itu.

Hampir 100,000 orang diambil bekerja di Tesla dan anak-anak syarikatnya setakat akhir 2021, demikian menurut makluman tahunan SEC.

Ia tidak memperincikan jumlah pekerja bergaji tetap dan dibayar mengikut jam.

Musk sejak beberapa minggu kebelakangan ini memberikan amaran mengenai risiko kemelesetan, namun e-mel yang mengarahkan pembekuan pengambilan pekerja dan pemberhentian itu adalah mesej paling berprofil tinggi seumpamanya daripada ketua sebuah syarikat pengeluar kereta. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 7:55 AM