JOE Garcia bersama isterinya Irma Garcia.
JOE Garcia bersama isterinya Irma Garcia.
Agensi

Texas: Meninggal dunia ketika persiapan pengebumian isteri. Itu yang berlaku terhadap suami kepada guru perempuan yang terbunuh dalam kejadian tembakan di Sekolah Rendah Robb di Uvalde, di Texas Selatan, Selasa lalu.

Lelaki itu, Joe Garcia rebah dan meninggal dunia pada Khamis ketika persiapan pengebumian isterinya sedang dilakukan.

Mereka sudah 24 tahun berkahwin sebelum kebahagiaan itu diragut tragedi tembakan rambang menyebabkan Irma Garcia turut terbunuh.

7news melaporkan, John Martinez anak saudara Irma Garcia memberitahu NBC News, dia dimaklumkan Joe Garcia pergi ke memorial peringatan bagi menghantar bunga sebagai tanda memori dengan mendiang isterinya Irma Garcia.

"Apabila dia pulang ke rumah, dia berada di rumah tidak lebih daripada tiga minit selepas duduk di atas kerusi bersama keluarga.

"Kemudian Joe terjatuh. Keluarga cuba melakukan bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) namun tidak berhasil.

"Ambulans tiba dan pasukan paramedik juga tidak dapat dapat mengembalikan Joe'," katanya yang menyifatkan ia sebagai kesedihan berganda.

Martinez berkata, dia tidak percaya Joe Garcia juga sudah meninggal dunia.

"Saya tak tahu nak rasa macam mana. Saya tidak percaya. Saya tidak mahu mempercayai bahawa Joe meninggal dunia," katanya.

Pada 24 Mei lalu Irma Garcia dan seorang lagi guru, Eva Mireles, terbunuh bersama 19 kanak-kanak di sekolah yang terletak kira-kira 120 kilometer barat San Antonio apabila seorang remaja lelaki mengamuk melepaskan tembakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 7:30 AM