HOLMES
HOLMES
Agensi

Washington: Seorang usahawan pernah digelar billionaire termuda di dunia berdepan pertuduhan kes penipuan.

Metro UK melaporkan pertuduhan terhadap Elizabeth Holmes, 37, boleh menyebabkan wanita itu meringkuk 20 tahun dalam penjara jika sabit kesalahan.

Holmes didakwa menipu pesakit dan pelabur mengenai syarikat permulaan teknologi perubatannya, Theranos yang pada satu ketika bernilai 6.6 bilion pound sterling (kira-kira RM37.9 bilion)

Ketika itu, dia menguar-uarkan teknologi dimiliki syarikatnya itu hanya menggunakan setitis darah untuk mengetahui masalah kesihatan pesakit.

Tetapi sebenarnya, teknologinya itu gagal berbuat demikian.

Kemuncaknya apabila Holmes mengundurkan diri pada September 2018 yang menyebabkan syarikatnya gulung tikar tiga bulan.

Dia kemudian berdepan sejumlah tuntutan jenayah serta sivil.

Penyokong utamanya sebelum ini termasuk Rupert Murdoch yang melabur AS$ 121 juta (kira-kira RM503.1 juta) dan keluarga Walton Walmart mempertaruhkan AS$ 150 juta (kira-kira RM623.7 juta)

Lebih daripada AS$ 700 juta (kira-kira RM2.91 bilion) dimasukkan sepenuhnya oleh pemodal teroka, tetapi ini terbukti tidak bernilai, ketika syarikat itu gulung tikar.

Theranos 'jatuh' selepas pendedahan bahawa mesin ujian darahnya, Edison tidak berfungsi seperti dijelaskan Holmes.

Ia terbukti memberikan hasil tidak tepat dan berbahaya dalam ujian yang dijalankan untuk pesakit sebenar.

Holmes mempromosikan produknya dari 2013 ketika baru berusia 29 tahun, dan menjadi penghias muka depan majalah perniagaan terkemuka seperti Forbes, Fortune dan Inc.

Sejak itu, reputasinya bertambah baik malah pernah dilantik sebagai duta presiden untuk keusahawanan global oleh Barack Obama.

Apabila semakin banyak pelabur berada di belakangnya, saham Holmes meningkat menjadi 3.3 bilion (kira-kira RM13.7 bilion), lapor MailOnline.

Bagaimanapun, masalah tercetus pada 2015 ketika akhbar AS mendedahkan ujian yang seharusnya dilakukan teknologi Theranos sebenarnya dilakukan menggunakan teknologi di tempat lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 6:30 AM