DONALD TRUMP
DONALD TRUMP
AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump melihat harapan baharu selepas Texas memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan pilihan raya presiden pada 3 November lalu di empat negeri utama.

Tindakan yang disifatkan sebagai usaha terakhir itu difailkan lewat semalam di Mahkamah Agung AS bagi mencabar kemenangan pesaingnya, Joe Biden, di Michigan, Georgia, Pennsylvania dan Wisconsin.

Tuntutan itu dilihat sebagai angkuh dan tidak masuk akal memandangkan tiada negeri berhak dari segi perundangan untuk mencampuri proses pilihan raya di negeri lain.

Texas sebagai negeri di mana Trump menang, mendakwa keputusan di empat negeri lain itu 'tidak berperlembagaan' kerana penggunaan undi pos secara meluas, yang dikatakan 'cenderung berlaku penipuan' ketika pandemik Covid-19.

Penyata tuntutan itu memetik banyak contoh tuduhan kemungkinan penipuan berlaku, yang sebelum ini sudah berulang kali ditolak mahkamah dalam puluhan kes difailkan Trump.

Peguam Negeri Texas, Ken Paxton, meminta Mahkamah Agung AS segera membekukan proses pengiraan undi sebelum ia disahkan Kolej Elektoral iaitu pihak berkuasa pilihan raya presiden AS, yang akan mengesahkan pemenang Isnin ini.

Menurutnya, kegagalan mahkamah campur tangan akan mengesahkan kemenangan Biden, sekali gus mencemari pilihan raya itu dan mana-mana pemilihan akan datang.

Tindakan itu juga menerima sokongan 17 lagi negeri dimenangi Trump, yang turut mengemukakan usul untuk menyertai tindakan mahkamah itu.

"Banyak bukti mengenai penipuan meluas di empat negeri yang dinyatakan dalam tuntutan Texas. Lihat saja semua rakaman dan afidavit!

"Ini adalah kes paling besar. Negara kita perlukan kemenangan!" katanya menerusi ciapan di laman Twitter.

Tuntutan itu difailkan ketika semua 50 negeri termasuk Washington DC, secara rasmi mengesahkan jumlah undian, sekali gus membuka laluan untuk Kolej Elektoral bertemu dan mengesahkan keputusan.

Tiada diragukan lagi bahawa Biden sudah memenangi pilihan raya presiden AS dengan meraih 51.3 peratus undian, berbanding 46.9 peratus dimenangi Trump, dengan majoriti tujuh juta undian.

Perkiraan mengikut negeri menunjukkan Biden memperoleh 306 undian berbanding 232 undi kepada Trump.

Namun, pakar perundangan menyifatkan tuntutan itu tidak berasas dan tidak berperlembagaan apabila satu negeri mahu mencabar hak pengundi negeri lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 11:29 PM