LOKASI Suarez mati ditembak. FOTO AFP
LOKASI Suarez mati ditembak. FOTO AFP
AFP

Quito: Pendakwa raya Ecuador yang sedang menyiasat serangan di stesen televisyen di Guayaquil, yang terbesar di negara itu dan salah satu bandar paling berbahaya, ditembak mati pada Rabu.

Peguam Negara Diana Salazar berkata, Pendakwa Raya Cesar Suarez, yang sudah menjalankan siasatan kes berprofil tinggi lain, ditembak ketika memandu kenderaan di bandar itu.

"Saya akan mengatakan ini dengan tegas. Kumpulan jenayah terancang, penjenayah, pengganas tidak akan menghentikan komitmen kami kepada masyarakat Ecuador," katanya dalam siaran video di apkikasi X (dahulunya Twitter)

Bagaimanapun, pejabat peguam negara tidak memberikan sebarang maklum balas.

Sebelumnya, 13 orang ditangkap dalam serangan di TC Television, yang disiarkan secara langsung dan menyebabkan Presiden Daniel Noboa mengisytiharkan bahawa Ecuador berada dalam konflik bersenjata dalaman di tengah-tengah lonjakan pembunuhan dan jenayah lain yang dikaitkan dengan pengedaran dadah.

Serangan itu menjadi berita antarabangsa dan menyebabkan negara menjadi huru-hara apabila banduan melarikan diri dari penjara, sekolah ditutup dan perintah berkurung diisytiharkan.

Keganasan meningkat di Guayaquil, dan Ecuador secara lebih meluas, di mana kematian akibat keganasan meningkat dua kali ganda dari 2021 hingga 2022.

Pegawai kerajaan berkata, 3,568 kematian direkodkan direkodkan di negara ini pada separuh pertama tahun lalu, yang mana hampir separuh daripadanya di Guayaquil.

Suarez memberitahu media tempatan sehari sebelum kematiannya bahawa dia tidak mendapat perlindungan polis selepas ditugaskan untuk menyiasat serangan 9 Januari itu.

Dia sebelum ini bertanggungjawab dalam kes Metastasis yang membabitkan raja dadah Ecuador yang didakwa menerima layanan baik daripada hakim, pendakwa raya, pegawai polis dan pegawai tinggi.

Polis Ecuador berkata, mereka sedang berusaha mencari mereka yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan Suarez.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 11:12 AM