NICOLAS Maduro. FOTO AP
NICOLAS Maduro. FOTO AP
AFP

Caracas: Mahkamah Venezuela pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara sehingga 30 tahun terhadap bekas ahli parlimen pembangkang dan 16 yang lain atas dakwaan serangan dron terhadap cubaan membunuh Presiden Nicolas Maduro pada 2018.

Bekas penggubal undang-undang Juan Requesens dijatuhi hukuman penjara lapan tahun untuk jenayah konspirasi itu, kata peguam Joel Garcia di Twitter selepas perbicaraan.

Hukuman penjara untuk 16 individu yang lain antara lima hingga 30 tahun atas tuduhan keganasan, pertubuhan jenayah, pembunuhan, khianat dan meletupkan bahan letupan di khalayak ramai.

Dua belas daripada tertuduh menerima hukuman tertinggi.

Hukuman itu dibuat selepas genap empat tahun apabila dua dron yang penuh dengan bahan letupan terbang ke arah Maduro ketika dia berucap pada perarakan tentera di sini dan insiden letupan itu mencederakan tujuh tentera.

Presiden mendakwa ia percubaan pembunuhan dan 30 individu, termasuk jeneral tentera dan Requesens ditangkap selepas itu.

Presiden Columbia ketika itu Juan Manuel Santos dikatakan turut mendalangi serangan itu dengan sokongan daripada Amerika Syarikat (AS) dan Peru.

"Perbuatan ini tidak boleh terlepas daripada hukuman dan patut dikenakan hukuman maksimum," kata Peguam Negara Tarek William Saab pada Khamis dan menegaskan tertuduh sudah menerima proses yang sewajarnya.

Bagaimanapun Gonzalo Himiob dari pertubuhan bukan kerajaan Foro Penal, yang memperjuangkan nasib tahanan politik, berkata hukuman itu bertujuan untuk menyokong naratif palsu mereka yang berkuasa atas dakwaan cubaan membunuh.

"Individu yang disabitkan kesalahan adalah kambing hitam," katanya.

Mahkamah memutuskan Jeneral tentera Hector Hernandez Da Costa, 56, dijatuhi hukuman penjara 16 tahun.

Bekas ahli parlimen Emirlendris Benitez dan Yolmer Escalona menerima hukuman penjara maksimum 30 tahun.

Menurut Foro Penal, seramai 245 tahanan politik di Venezuela sehingga 1 Ogos lalu.

Dalam kes yang tidak berkaitan, mahkamah Venezuela mengeluarkan waran tangkap terhadap wartawan Carla Angola, seorang rakyat AS atas jenayah mempertahankan percubaan membunuh Maduro.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 3:50 PM