BUDAK lelaki menarik beg di satu kawasan yang terjejas akibat banjir di Derna, timur Libya. FOTO AFP
BUDAK lelaki menarik beg di satu kawasan yang terjejas akibat banjir di Derna, timur Libya. FOTO AFP
AFP

Tripoli: Sekurang-kurangnya 2,300 mangsa terbunuh susulan banjir yang melanda bandar Derna di Libya, kata perkhidmatan kecemasan pada Selasa, dengan jumlah kematian dikhuatiri jauh lebih tinggi.

Beberapa negara menawarkan untuk menghantar bantuan dan pasukan penyelamat segera bagi membantu negara yang dilanda perang itu.

Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan banjir itu sebagai 'malapetaka yang hebat'.

Kemusnahan besar-besaran terjadi susulan banjir akibat Ribut Daniel yang merentasi Laut Mediterranean hingga menghancurkan pantai timur bandar Derna, kediaman kepada kira-kira 100,000 orang.

Bangunan bertingkat di tebing sungai runtuh, manakala rumah dan kereta ditenggelami banjir.

Perkhidmatan kecemasan di bawah kerajaan yang diiktiraf antarabangsa dalam negara berpecah itu melaporkan, angka kematian di Derna sahaja, adalah lebih 2,300 orang, manakala kira-kira 7,000 cedera.

Tetapi pegawai dari kerajaan saingan di timur Libya berkata, jumlah kematian boleh melebihi 10,000.

Banjir berpunca daripada hujan lebat dari Ribut Daniel yang melanda Libya, pada Ahad, selepas ia sebelum ini membadai Greece, Bulgaria dan Turkiye.

Derna, terletak 250 kilometer di timur Benghazi, dikelilingi bukit-bukau dan terbahagi dua oleh sungai yang biasanya kering pada musim panas.

Pada masa ini, sungai itu dilimpahi arus deras air berwarna coklat dan berlumpur yang turut menghanyutkan beberapa jambatan utama.

"Angka kematian adalah tinggi dan mungkin mencecah ribuan lagi," kata Tamer Ramadan dari Persekutuan Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa, sambil menambah 10,000 orang dilaporkan hilang.

Libya mengalami konflik selama bertahun-tahun yang mencetuskan kemiskinan dan krisis pelarian.

Bencana terbaru akan memburukkan lagi keadaan dengan hospital dan tempat perlindungan akan menjadi terlalu sesak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 11:20 AM