GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Agensi

Beijing: Seorang bapa di China diserang sakit jantung dipercayai tertekan ketika mengajar subjek matematik kepada anaknya.

Ketika kejadian 4 Oktober lalu itu, lelaki dikenali sebagai Liu itu dikatakan membantu anaknya menyiapkan kerja sekolah.

Liu sebelum ini mengalami sakit di dada namun dia tidak menyangka itu adalah petanda sakit jantung.

Media tempatan melaporkan dia yang berusia 45 tahun berang selepas mengajar anaknya menyelesaikan soalan matematik sama, sebanyak tiga kali.

Sebaik melepaskan kemarahannya, dia tiba-tiba rasa sakit di bahagian dada dan sesak nafas.

Tidak lama selepas itu, Liu pengsan dan segera dikejarkan ke hospital di Shenzen bagi pemeriksaan lanjut.

Pemeriksaan perubatan kemudian mengesahkan Liu pengsan kerana diserang sakit jantung.

Namun, ketika menerima rawatan, dia sekali lagi pengsan.

Ia menyebabkan doktor membuat pemeriksaan rapi sebelum mengesahkan saluran arterinya sudah tersumbat.

Pasukan perubatan berpendapat serangan jantung itu disebabkan tekanan ketika dia membantu anaknya menyiapkan kerja sekolah.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tahap kesihatan terkini Liu.

Berdasarkan jurnal perubatan, penyakit jantung menjadi penyebab kematian utama bagi rakyat Amerika Syarikat.

Sementara itu, di Malaysia, penyakit jantung koronari menjadi punca kematian utama penduduknya.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, jumlah kematian akibat penyakit jantung koronari di negara ini pada 2018 adalah 18,267 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 7:16 AM